KAMPUNG GAJAH – Mayat seorang lelaki ditemui tersangkut pada sebatang pokok di dalam Sungai Kinta di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, mayat lelaki dianggarkan berusia 30 hingga 40 tahun itu dijumpai orang awam kira-kira pada pukul 6 petang sebelum perkara tersebut dimaklumkan kepada pihak polis.
“Anggota bertugas terus ke lokasi kejadian sebelum mendapati mayat tersebut masih berada di dalam sungai dalam keadaan tertiarap tanpa baju.
“Selepas dibawa naik ke darat, anggota mendapati dia diikat dengan tali pada kaki kanannya dan tali tersebut pula telah diikat pada kotak barangan motosikal yang dipercayai dijadaikan pemberat bagi menenggelamkan mayat,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Menurut Mohamad Zainal, lelaki tersebut disyaki telah meninggal dunia sejak dua hari lepas berdasarkan keadaan badan yang mula membengkak.
“Terdapat kesan kelar pada leher mangsa dan dua kesan luka pada belakang mangsa yang hanya berseluar jean biru jenama Gucci tanpa berbaju itu.
“Identiti mangsa masih belum dapat dikenal pasti kerana tiada sebarang dokumen pengenalan diri dijumpai pada mangsa dan keadaan sekeliling,” katanya.
Tambahnya, kawasan kejadian merupakan kawasan sungai yang bersebelahan dengan ladang kelapa sawit yang terletak kira-kira dua kilometer dari jalan besar melalui denai kecil.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Pihak polis memohon kerjasama orang ramai yang kehilangan saudara mara atau mempunyai maklumat berkaitan kes ini dapat berjumpa pegawai penyiasat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah,” katanya. -K! ONLINE










