MELANGKAH masuk ke pekarangan Masjid Tengku Ampuan Jemaah di Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor mengingatkan kita kepada seni bina Asia Barat – rasa damai dan tenang.
Pelan susun aturnya memperlihatkan segala kemudahan ditempatkan dengan betul bagi menghasilkan ruang dalaman yang memberi kesan pengalaman mengingatkan kita kepada tujuan kehidupan iaitu beribadah kepada Allah SWT.
Masjid diraja itu dikatakan paling ‘disayangi’ Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kerana baginda kerap menunaikan solat di situ.
Bilal Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Azwar Mahmud berkata, Sultan Sharafuddin sentiasa mengambil berat terhadap perkembangan masjid berkenaan yang dinamakan sempena nenda baginda.
Menurutnya, baginda berangkat ke masjid tersebut sekurang-kurangnya dua kali sebulan dan itu membuatkan ahli kariah berasa dekat dengannya.
“Tuanku sering mencemar duli berangkat ke masjid ini sama ada untuk solat Jumaat atau program-program lain seperti bacaan Yasin sempena Hari Pahlawan,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Pada bulan Ramadan pula, baginda berangkat berbuka puasa bersama rakyat dan bersolat tarawih selain beramah mesra dengan rakyat jelata dalam jamuan moreh.
Selain beribadah, baginda juga mahu menjadikan masjid berkenaan sebagai gedung ilmu.
Itu sebabnya ada perpustakaan dibina yang membuktikan kecintaan baginda kepada ilmu.
Perpustakaan yang mempunyai kapasiti terhad kepada 30 orang itu menghimpunkan ratusan kitab ilmu hadis, buku agama dan karya ulama tersohor dari dalam dan luar negara.
Sementara itu, Penolong Perpustakaan Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Fatin Fasihah Kamarulzaman memberitahu, hampir 80 peratus kitab dan buku cenderamata tentang Islam disumbang sendiri oleh baginda sejak dibina hampir empat tahun lalu dengan kos RM300,000.
“Selain buku dan kitab sedia ada, pihak istana akan menghantar koleksi-koleksi buku dan kitab agama dari semasa ke semasa.
“Bagi koleksi yang disumbang oleh tuanku, kebanyakannya boleh dirujuk di sini dan hanya buku-buku tertentu boleh dipinjam,” ujarnya.
Perpustakaan tersebut bermotifkan kuning iaitu lambang warna diraja sekali gus menggambarkan komitmen baginda supaya umat Islam mencintai ilmu dengan sepenuh hati mereka.
Perpustakaan tersebut tidak pernah sunyi daripada menerima tetamu yang dahagakan ilmu terutama berkaitan Islam.
Selain dikunjungi ahli kariah, ia juga selalu didatangi penuntut asing dari universiti-universiti di sekitar bandar raya ini dan Lembah Klang.
Mengulas mengenai program-program keilmuan yang dianjurkan, Fatin Fasihah menjelaskan, pihaknya selalu mengadakan aktiviti melibatkan semua golongan tidak kira kanak-kanak mahupun dewasa.
Jelasnya lagi, program seperti kem solat dan rekreasi menjadikan suasana masjid hidup sepanjang masa terutama pada musim cuti sekolah.
Untuk rekod, Masjid Tengku Ampuan Jemaah dibina dengan kos RM25.5 juta pada Mei 2010 dan siap sepenuhnya, Mac 2013.
Semasa perasmian masjid tersebut, Sultan Sharafuddin berkenan mewakafkan 500 naskhah al-Quran sebagai rujukan dan bacaan ahli kariah.
Masjid diraja tersebut mempunyai keluasan 2.07 hektar dan dibina melalui pembiayaan Wakaf Khas Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj sebanyak RM6 juta, kerajaan negeri RM11 juta, Sime Darby Property Berhad RM6 juta dan ahli-ahli kariah RM2.5 juta.









