‘Mari bongkar sumbang mahram’ - Utusan Malaysia

‘Mari bongkar sumbang mahram’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA bait-bait tulisan ini dinukilkan, saya (penulis) percaya, masih ada perbuatan sumbang mahram yang belum terbongkar di luar sana.

Insiden inses dua hari lalu membabitkan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun hingga melahirkan seorang bayi di tandas rumahnya di Taman Diawan, di Kampar, Perak hasil hubungan seks dengan adik lelaki tingkatan satu walaupun luar biasa, bukanlah mengejutkan.

Inses – perbuatan zina dilakukan seseorang yang ada pertalian darah atau nasab (keturunan) dengan mangsa.

Pagi semalam saya menerima panggilan daripada seorang ibu muda lewat 20-an yang mahu dikenali sebagai Ita sahaja. Dengan suara sebak, tersekat-sekat, Ita berkongsi dengan saya:

“Saya senasib, sama seperti bidalan Melayu, kisah `haruan makan anak’. Adik beradik saya kesemuanya lelaki dan saya anak perempuan tunggal. Jujurnya sehingga ke hari ini jiwa saya masih terluka.

“Pertama kali saya buka cerita adalah pada guru mengaji Quran saya, waktu itu saya berusia 11 tahun. Pada mulanya pastilah ustazah saya tak percaya, tapi bila saya cerita secara details, dia tahu saya bukan reka cerita.

“Saya tak berani cerita pada ibu sebab ibu amat garang. Jadi, ustazah yang panggil ibu ke sekolah. Bila balik, ibu suruh saya cerita semula padanya. Saya tunjuk semua tempat kejadian. Hati ibu remuk, hati saya pun sama.

“Parent saya berpisah untuk beberapa ketika (bukan bercerai). Cuma duduk berasingan. Lama-kelamaan ayah nampak insaf dan ibu menerima kembali. Kisah saya itu hilang ditelan masa. Tapi tak terhenti di situ. Bila saya masuk tingkatan satu dan mendapat tawaran asrama penuh, perlahan-lahan saya menjauhi mereka.

“Saya belajar lebih tentang aurat. Namun untuk berikan dia peluang bila saya berada di rumah, tidaklah. Saya sudah berani mengelak.

Ada saja harinya saya sedang tidur dan tiba-tiba rasa dipeluk dari belakang. Kemudian bila ibu terlihat, saya pula dimarahinya.

“Kali terakhir dia meraba saya ketika saya tingkatan lima. Saya menangis dan merayu. Tolonglah jangan sentuh saya lagi. Tolonglah. Dan benar, itulah kali terakhir perkara itu terjadi.

“Yang pasti, saya kecewa dengan kedua ibu bapa saya. Kerana kisah silam itu, saya mudah benci pada orang. Malah dulu, suami saya juga teruk dimarahi oleh saya. Saya juga sebenarnya benci hubungan seksual. Saya rasa saya ini hanyalah objek pelepas nafsu walaupun sebenarnya tidak.

“Entah. Saya ada dua muka. Satu optimis dan kedua, pesimis. Di sebalik senyuman manis yang saya pamerkan pada semua orang, ada rahsia terpendam yang hanya Allah sahaja tahu.”

Itu luahan hati Ita kepada saya. Ya, perlakuan sumbang mahram merosakkan institusi keluarga.

Dalam laporan dibentangkan di Parlimen sehingga tahun 2015, kebanyakan kes rogol di negara ini melibatkan golongan yang berumur 13 ke 15 tahun dalam kelompok paling ramai.

Agak mengejutkan bukan? Mengapa ini berlaku? Secara purata 45% mangsa kes rogol datang dari golongan 13 hingga 15 tahun setiap tahun atau 45%, berbanding kumpulan umur lain, dengan kumpulan 16 ke 18 tahun mencatatkan 25% dan atas 18 tahun mencatatkan 23%.

Bagi kes rogol bawah 12 tahun pula, peratusannya berada pada kadar 7% bagi semua kes rogol dilaporkan daripada 2013 hingga 2015.

Satu kajian oleh Dr. Abdul Hadi Zakaria pada 1996 dan laporannya diterbitkan pada Januari 1998 dengan tajuk Haruan Makan Anak: Inses di Semenanjung Malaysia menunjukkan dari 1992-1994, mendapati 30% dari kes rogol yang dilaporkan melibatkan sumbang mahram. Penceroboh utama jenayah ini ialah bapa kandung (48.8%) dan diikuti bapa tiri (24.4%). Lelaki-lelaki lain yang menjadi penceroboh ialah bapa saudara, abang ipar dan datuk. Kebanyakan kes sumbang mahram ini berlaku di rumah kediaman mangsa.

Kajian menunjukkan inses lebih banyak berlaku dalam kalangan mereka yang berpendapatan rendah dan majoriti kes berlaku di kawasan luar

bandar. Ini bertentangan dengan pandangan am bahawa kampung dan komuniti tradisional adalah kawasan selamat kerana didiami oleh orang-orang yang konvensional, yang berpegang kuat kepada ajaran agama dan yang dikatakan tidak cenderung ke arah perbuatan jahat.

Mangsa perlu melaporkan kejadian inses ini. Kalau tidak dilaporkan, ia akan lenyap begitu sahaja seperti nasib dialami oleh Ita.

Pihak berwajib bantulah mereka ini yang malu dan tidak tahu kepada siapa mahu mengadu.

Dan ibu-ibu di luar sana, ajarlah anak perempuan anda dari kecil lagi mengenali diri sendiri, tempat sulit dan bercerita jika ada sesiapa berlaku tidak sopan dengannya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×