Malaikat pun buat silap - Utusan Malaysia

Malaikat pun buat silap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

petaling jaya 8 Dis. – Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) bukanlah sempurna sehingga tidak melakukan sebarang kesilapan.

Menurut Perdana Menteri, sebagaimana malaikat yang ada kalanya boleh melakukan kesilapan, jadi bukanlah sesuatu yang mustahil untuk mereka juga berbuat tindakan serupa.

“Kadang-kala apabila kita pergi ke jalan yang salah, kita akan patah balik tetapi hanya jika perlu. Kita bukan manusia yang sempurna walaupun sebahagian daripada kita adalah malaikat.

“Malaikat pun kadang-kala melakukan kesilapan, jadi apabila malaikat buat silap, mereka juga patah balik,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusi Mesyuarat Majlis Presiden PH di Menara Yayasan Selangor di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Pre­siden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan, Gobind Singh Deo.

Dr. Mahathir diminta mengulas mengenai kritikan pelbagai pihak berhubung tindakan beberapa kepemimpinan Kabinet PH melakukan pusingan U selepas memutuskan dasar-dasar kerajaan seperti penangguhan mekanisme pembayaran baharu pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang diumumkan semalam.

Berhubung keputusan pe­nangguhan potongan gaji berjadual (PGB) yang sepatutnya dilaksanakan PTPTN awal tahun depan, Perdana Menteri berkata, kerajaan mahu me­ngubah mekanisme pembayaran tersebut.

“Banyak yang protes, (jadi) kami mengambil kira semua pandangan tersebut. Kami ma­hu ubah suai, (dan) kita akan umum dalam tempoh terdekat,” kata beliau.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai prestasi Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan yang menerima kecaman banyak pihak khususnya dalam kalangan para peminjam sejak beliau menerajui orga­nisasi itu, Dr. Mahathir berkata;

“Benda tak sangka berlaku, macam PH menang pilihan raya umum, manusia ada kelemahan dan tidak tahu apa nak jadi dengan kita, macam keluar jalan kena langgar kereta, minta maaflah,” ujar beliau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN