Majikan wajib daftar pekerja sambilan di bawah Perkeso - Utusan Malaysia

Majikan wajib daftar pekerja sambilan di bawah Perkeso

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH – Kementerian Sumber Manusia sekali lagi menegaskan kepada para majikan agar mendaftarkan pekerja mereka di bawah Pertubuhan Keselamatan Pekerja (Perkeso) termasuk pekerja sambilan.

Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran berkata, perkara tersebut perlu dititikberatkan majikan agar pampasan yang setimpal dapat diberikan kepada pekerja atau waris sekiranya berlaku sebarang kemalangan terhadap pekerja berkenaan. 

“Pentingnya majikan mendaftarkan pekerja mereka di bawah Perkeso walaupun hanya kerja sambilan seperti potong rumput dan pentingnya pekerja mencarum agar hak mereka dapat ditunaikan selepas berlaku kemalangan. 

“Setiap rakyat Malaysia yang bekerja wajib mencarum di bawah skim Perkeso ini agar segala pampasan selepas kemalangan dapat diberikan kepada mereka,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini selepas melawat keluarga dan waris enam mangsa yang rentung dalam kebakaran Selasa lalu. 

Turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Datuk Aziz Mohammed. 

Dalam lawatan tersebut, Kula Segaran menyerahkan cek pampasan kepada semua waris mangsa sebanyak RM12,000 sebagai tanggungjawab sosial korporat Perkeso terhadap semua mangsa. 

Kosmo! Rabu lalu melaporkan, enam lelaki rentung serentak apabila bangunan rumah kedai dua tingkat yang mereka diami terbakar selepas berlaku letupan dalam kejadian di Jalan Puncak Jelapang 3, Puncak Jela­pang Maju, Jelapang. 

Kejadian pada pukul 1.45 petang itu dikatakan berlaku ketika kesemua mangsa sedang bekerja di tingkat atas premis yang menjalankan perniagaan pengatur cara majlis.

Sementara itu, Ahmad Faizal turut menghulurkan sumbangan daripada kerajaan negeri dan sumbangan peribadi beliau berjumlah RM12,000 kepada semua waris mangsa yang terlibat. 

Ahmad Faizal turut menasihatkan para majikan agar mengutamakan aspek kesalamatan pekerja dalam tugas yang diberikan kepada mereka. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN