LONDON 1 Dis. – Liverpool masih mencari keseimbangan jentera serangan dan kemantapan pertahanan.
Pengendali Reds, Jurgen Klopp berkata, pasukannya memiliki jentera serangan paling tajam, musim lalu, tetapi gawang mereka lebih banyak dibolosi, namun pada musim ini, kelemahan itu berjaya di atasi setelah Liverpool hanya melepaskan lima gol.
Bagaimanapun, jentera serangan, musim ini, pula yang tidak begitu berkesan selepas hanya menjaringkan 26 gol berbanding Manchester City yang memiliki 40 gol.
Bercakap mengenai aksi derby Merseyside menentang Everton, Klopp ditanya sama ada proses perkembangan pasukan tersekat selepas bahagian tengah skuad bimbingannya lebih menggunakan pendekatan konservatif berbanding, musim lalu.
“Ya, dalam sesetengah perlawanan ia berlaku. Sejujurnya keadaan ini agak pelik. Ketika semua berjalan dengan baik, anda bertanya macam mana cara untuk perbaiki pertahanan.
“Apabila kita melakukan sesuatu perubahan, pada peringkat awal keadaan itu akan menjejaskan kelancaran serta kreativiti. Perkara ini normal. Jika difikirkan semula, lihat secara jelas, perkara ini adalah logik,” kata Klopp. – AGENSI










