JAKARTA 4 Dis. – Susulan perbalahan dengan Boeing Co. ekoran nahas pesawat 737 MAX 8 yang mengorbankan 189 nyawa di perairan Karawang, dekat sini pada Oktober lalu, syarikat penerbangan Lion Air sedang mengkaji untuk membatalkan perjanjian pembelian kapal terbang dengan syarikat itu.
Mengikut perjanjian tersebut, Lion Air masih terikat baki tempahan bernilai AS$22 bilion (RM91 bilion) melibatkan 190 jet dengan Boeing.
Setakat ini, Lion Air yang merupakan pelanggan eksport utama Amerika Syarikat (AS) itu sudah menerima 197 pesawat daripada syarikat tersebut.

Pengasas bersama Lion Air, Rusdi Kirana menyifatkan tindakan Boeing Co. menyalahkan Lion Air atas insiden itu hanyalah percubaan untuk mengalihkan perhatian berhubung reka bentuk pesawat.
Firma penerbangan itu dikatakan berdepan dengan siasatan terhadap rekod penyelenggaraan dan tindakan juruterbang.
Sumber memberitahu, sehingga kini tiada sebarang keputusan dibuat tetapi berdasarkan perbincangan awal, besar kemungkinan Lion Air akan membatalkan perjanjian pembelian pesawat daripada Boeing.
Sementara itu jurucakap Boeing memberitahu, pihaknya sedia bekerjasama dengan pasukan siasatan dan pihak berkuasa untuk mencari punca nahas itu.
“Kami juga sentiasa menyokong para pelanggan kami dalam menghadapi masa-masa sukar sebegini,” jelasnya.
Sebarang permintaan untuk membatalkan tempahan akan memberi tekanan kepada Boeing dan mungkin mencetuskan rundingan lanjutan.
Boeing mengeluarkan kenyataan itu selepas pasukan penyiasat mendedahkan laporan awal nahas kini bertumpu kepada kerja-kerja penyelenggaraan semasa empat penerbangan sebelum nahas yang berlaku pada 29 Oktober lalu. – REUTERS










