Lima ADUN mungkin dipanggil SPRM semula - Utusan Malaysia

Lima ADUN mungkin dipanggil SPRM semula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH – Lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO kemungkinan akan dipanggil semula oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi melengkapkan siasatan berhubung dakwaan wujudnya satu gerakan menjatuhkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Pengarah SPRM Perak, Datuk Zainul Darus berkata, pihaknya juga mungkin akan memanggil Ahmad Faizal untuk memberi keterangan sekiranya diperlukan untuk membantu siasatan.

“Setakat ini, tidak ada individu baru dipanggil selepas keterangan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad serta lima ADUN parti tersebut diambil.

“Kita kena lihat dulu keterangan-keterangan yang ada dan jika perlu, kita akan memanggil Menteri Besar, lima ADUN UMNO juga akan turut dipanggil semula sekiranya perlu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Walkabout Perdana sempena Hari Anti Rasuah Antarabangsa (HARA) 2018 peringkat negeri Perak di Ibu Pejabat SPRM Perak di Meru Raya di sini sebentar tadi.

ADUN tersebut ialah ADUN Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya; Datuk Sham Mat Sahat (Alor Pongsu); Khairul Shahril Mohamed (Bota); Maslim Sham Razman (Bukit Chandan) dan Dr. Jurij Jalaluddin (Lubuk Merbau).

Tambah Zainul, siasatan lanjut sedang dijalankan dan pihaknya akan menyelesaikan kes tersebut secepat mungkin.

Khamis lalu, SPRM telah memanggil Saarani serta lima ADUN tersebut bagi memberikan keterangan berhubung gerakan menjatuhkan Ahmad Faizal yang cuba dilakukan oleh seorang Exco Kerajaan Negeri itu.

SPRM juga telah mengambil keterangan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar Perak, Dr. Abdul Aziz Bari selepas dia dikaitkan dengan gerakan berkenaan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN