Lelaki terlibat lapan kes pecah rumah ditahan - Utusan Malaysia

Lelaki terlibat lapan kes pecah rumah ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN 20 Dis. – Polis menahan seorang lelaki warga Indonesia di Taman Semarak, di sini semalam selepas disyaki terlibat dalam lapan kes pecah rumah di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Mohd. Nor Marzukee Besar berkata, lelaki berusia 30-an itu ditahan dalam Op Poket susulan beberapa laporan kes pecah masuk rumah di kawasan itu.

“Operasi dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) daerah pada pukul 11 malam dan beberapa barangan telah dirampas daripada suspek.

“Antaranya sembilan telefon bimbit, dua tablet, seutas jam tangan, dua dompet, enam beg galas, lapan keping surat pajak gadai, barang kemas pelbagai bentuk, sepasang sarung tangan dan alat pecah rumah iaitu sebatang pahat besi,” katanya dalam sidang akhbar di Balai Polis Nilai, di sini hari ini.

Mohd. Nor Marzukee berkata, suspek dipercayai melakukan kegiatan pecah rumah itu berseorangan dan menjadikan rumah yang tidak berpenghuni sebagai sasaran.

Ujarnya, lelaki itu ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 25 Disember ini mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

“Suspek mula melakukan jenayah ini sejak Oktober lalu dan pihak polis masih menyiasat sama ada dia turut melakukan kegiatan jenayah di daerah lain,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN