BUTTERWORTH – Seorang lelaki cedera parah selepas diserang tiga lelaki bersenjatakan pedang dan tidak dikenalinya ketika sedang bersarapan di sebuah restoran di Taman Chai Leng, Perai di sini hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Superintendan Mustafa Bidin berkata, dalam kejadian pukul 9.30 pagi itu, mangsa berusia 39 tahun tiba-tiba didatangi tiga lelaki berpakaian gelap dan bertopeng muka biru gelap serta seorang daripada suspek bersenjatakan disyaki pedang berwarna chrome-silver.
“Mereka terus menuju ke meja makan mangsa dan seorang daripada suspek bersenjatakan pedang terus melibaskan senjata tersebut ke badan mangsa sebelum lelaki itu melarikan diri kira-kira 45 meter dari tempat kejadian dan berhenti di hadapan sebuah restoran untuk menaiki keretanya yang diparkir di kawasan berkenaan.
“Tiga lelaki itu bertindak mengejar mangsa sebelum mereka menyerang dan menetak lelaki itu berhampiran keretanya. Selepas kejadian berkenaan kesemua suspek melarikan diri menaiki sebuah kenderaan,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, mangsa bekerja sendiri itu mengalami kecederaan parah dan dihantar ke Hospital Seberang Jaya oleh orang ramai yang berada di lokasi kejadian. – Bernma










