PASIR MAS 5 Dis. – Mohamad Amirul Asyraf, Saupi, 22, seorang anak yang dilahirkan cukup sempurna dan merupakan permata hati buat pasangan suami isteri Saupi Mohammad, 45, dan Hamiza Suriati Ab Hamid, 43, yang menetap di Kampung Slow Machang di sini.
Namun kehidupan anak kedua daripada 10 beradik itu berubah sepenuhnya daripada normal ke hilang upaya apabila dia terlibat dengan kemalangan pada Ramadan tahun 2010 ketika dalam perjalanan untuk mengunting rambut.
Mohamad Amirul Asyraf yang ketika itu berusia 15 tahun koma selama dua minggu kini hanya mampu terbaring di atas katil sebaik sahaja sedarkan diri.
Lapan tahun terlantar diatas katil, bukan satu tugas mudah buat Hamiza Suriati memandangkan Mohamad Amirul Asyraf memerlukan penjagaan rapi sepanjang masa.
Namun disebalik kesedihan nasib yang menimpa Mohamad Amirul Asyraf, raut wajah Hamiza Suriati tetap gembira apabila melihat anaknya itu membesar seperti anak-anak lain.
Menurutnya, sebagai ibu, dia tetap bersyukur dapat melihat Mohamad Amirul Asyraf membesar seperti remaja-remaja lain walaupun dalam keadaan terlantar begini.
“Selagi kudrat masih ada, saya dan suami akan terus memastikan tahap kesihatan Mohamad Amirul berada dalam keadaan baik,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Slow Machang di sini hari ini.
Terdahulu, Hamiza Suriati menerima kunjungan dari Pengerusi Kelab Kebajikan Cakna Kelantan (KKCK) Pui Tiong Lam yang menyerahkan sumbangan susu dan barang makanan bagi meringkan beban keluarga berkenaan.
Hamiza Suriati memberitahu, anaknya itu bergantung sepenuhnya kepada susu untuk meneruskan hidup.
Katanya, dia memerlukan perbelanjaan sekurang-kurang RM2,000 sebulan untuk Mohamad Amirul Asyraf merangkumi susu, lampin pakai buang dan alat-alat gantian untuk membuang kahak.
Katanya, bantuan bulanan sebanyak RM300 yang diterima dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) masih belum mencukupi untuk menampung sebahagian daripada perbelanjaan Mohamad Amirul.
Katanya, bagimanapun dia dan suami akan tetap berusaha sebaik mungkin bagi memastikan stok susu Mohamad Amirul sentiasa cukup dengan bantuan anak sulungnya yang bekerja sebagai mekanik.
Orang ramai yang ingin membantu Mohammad Amirul boleh menyalurkan sumbangan di akaun Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) milik Hamiza Suriati 03-027-02-078899-9. – UTUSAN ONLINE










