KUALA LUMPUR – Maybank menyasarkan peningkatan transaksi pelaburan sebanyak 20 peratus ke dalam dana Amanah Saham Nasional Bhd. (ASNB) menerusi pengenalan perkhidmatan transaksi pelaburan unit ASNB dalam masa nyata menerusi platform Maybank.
Perkhidmatan tersebut kini boleh dilakukan menerusi Maybank2u versi komputer dan di 2,700 rangkaian mesin teler automatik (ATM) serta terminal perkhidmatan layan diri Maybank seluruh negara sebelum diperluaskan kepada aplikasi mudah alih Maybank hujung bulan ini.
Transaksi masa nyata itu boleh dilakukan dari pukul 7 pagi sehingga 7 malam pada hari Jumaat hingga Ahad, kecuali hari Sabtu atau cuti umum.
Ketua Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank, Datuk Hamirullah Boorhan berkata, kini terdapat lebih daripada tiga juta transaksi ASNB dibuat menerusi platform Maybank setahun, yang mana kira-kira sejuta daripadanya melibatkan transaksi deposit.
“Kami menjangkakan sekitar 50 peratus daripada transaksi deposit ini akan berpindah kepada platform digital Maybank selain pertumbuhan transaksi deposit ASNB sebanyak 20 peratus tahun depan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena pelancaran perkhidmatan baharu itu di Menara Maybank di sini semalam.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif ASNB, Mohammad Hussin dan Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Abdul Farid Alias.
Sementara itu, Mohammad menjelaskan, sehingga 16 Disember lebih daripada RM2.21 juta transaksi unit ASNB telah dibuat menerusi ATM Maybank dengan purata RM2,985 setiap transaksi manakala platform Maybank2u telah menyaksikan transaksi unit ASNB bernilai RM56.5 juta.
“Hari ini produk ASNB telah berkembang kepada 14 dana amanah dan kami menguruskan sebanyak 235.96 bilion unit melibatkan lebih 13.7 juta akaun.
“Kami yakin perkhidmatan ini akan memberikan lebih kemudahan kepada pelanggan dan kami turut bercadang untuk memperkenalkan perkhidmatan serupa kepada ejen-ejen kami yang lain,” katanya.










