KUALA LUMPUR 17 Dis. – Di sebalik peletakkan jawatan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar sebagai Naib Presiden PKR dan Pengerusi PKR Pulau Pinang hari ini, bekas pimpinan pusat parti itu, Latheefa Koya membuat kenyatan membidas amalan kronisme serta nepotimse dalam parti tersebut.
Menerusi kenyatannya seperti dilaporkan portal Malaysiakini hari ini, Latheefa membidas sikap kronisme dan nepotisme dalam melantik jawatan Pengerusi PKR negeri termasuk pelantikan Nurul Izzah sebagai Pengerusi PKR Pulau Pinang.
Jelasnya, mengikut Perlembagaan parti, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sepatutnya berunding dengan ketua-ketua cabang negeri sebelum sebarang lantikan dibuat.
“Pelantikan Nurul Izzah sebagai Pengerusi PKR Pulau Pinang oleh Presiden parti yang juga bapanya sangat tidak sesuai dan terbuka kepada tuduhan amalan nepotisme.
“Amalan melantik saudara terdekat dalam jawatan penting tidak sewajarnya wujud dalam sebuah parti reformis,” katanya.
Sementara itu, Latheefa turut mendakwa wujudnya ketidakseimbangan berdasarkan dua pengaruh utama parti itu dalam pemilihan kepemimpinan baru-baru ini yang merujuk kepada pertembungan antara Rafizi Ramli dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR.
Tambahnya, kecuali dalam kes di Sarawak dan Selangor, pengerusi negeri yang dilantik diketahui umum berada dalam kem utama PKR.
“Kenapa wujud ketidakseimbangan yang memihak kepada satu puak? Pelantikan yang memihak kepada satu puak tertentu sama seperti kronisme merupakan ancaman kepada mana-mana pihak.
“Sekurang-kurangnya dua negeri iaitu Pahang dan Sabah, calon yang dipilih pada mulanya tidak mendapat sokongan majoriti dalam kalangan ketua-ketua cabang negeri. Bagaimanapun, selepas dipanggil untuk bertemu presiden, ketua-ketua cabang negeri itu menukar sokongan mereka, kenapa mereka beralih sokongan kepada pihak bertentangan selepas bertemu dengan presiden? Apa yang beliau (presiden) katakan kepada mereka?,” soalnya. – UTUSAN ONLINE











