KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin mendesak Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melepaskan jawatan Presiden UMNO secepat mungkin.
Desakan itu dibuat di ketika krisis kepercayaan dalam kalangan ahli parti terhadap Ahmad Zahid, yang menyaksikan semakin ramai pemimpin dan ahli Parlimen UMNO meninggalkan parti itu.
Dalam catatan Khairy dalam laman sosial Twitter, beliau percaya, kini tiba masanya untuk Ahmad Zahid berundur daripada jawatan yang disandagnya sekarang.
“Step aside, sir. It’s time. (Sila berundur, tuan. Sudah tiba masanya),” katanya menerusi akaun Twitternya hari ini.
Khairy membuat desakan itu bagi membalas kenyataan Ahmad Zahid kepada media yang menegaskan hanya dua pertiga daripada 146,000 perwakilan yang boleh melucutkan jawatannya menerusi Perhimpunan Agung UMNO.
Bekas Ketua Pemuda UMNO itu turut mengepilkan laporan media yang melaporkan kenyataan Ahmad Zahid dalam Twtitter miliknya. – K! ONLINE










