IPOH 18 Dis. – Sebanyak 86 warga Universiti Kuala Lumpur Royal College of Medicine Perak (UniKL RCMP) menyertai Program Jejak Etnik dalam usaha mengenali budaya dan ekonomi masyarakat Orang Asli di tiga kampung di Tapah.
Mereka yang terdiri daripada mahasiswa tahun satu jurusan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Farmaseutikal, rata-ratanya berasal dari bandar dan tidak berpeluang untuk mendekati golongan pribumi itu secara lebih dekat.
Sehubungan itu, lawatan diiringi oleh enam pensyarah ke Kampung Batu 5, Kampung Sungai Chedun dan Kampung Sungai Odak tersebut berjaya mengubah persepsi mereka yang sebelum ini menganggap kehidupan masyarakat Orang Asli masih mundur.
Pensyarah Hubungan Etnik dan Pengajian Malaysia UniKL RCMP, Ibrahim Ahmad berkata, program itu memberi pengalaman bermakna kepada peserta apabila didedahkan dengan aspek kehidupan Orang Asli dari suku kaum Temiar.
“Program ini turut mendapat kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan pihak tentera apabila mahasiswa juga merasai menaiki trak tentera untuk ke kawasan perkampungan Orang Asli,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Sementara itu, pengarah projek, Nur Izzat Nazmi Ismail berkata, mereka teruja dapat melihat suasana kehidupan Orang Asli serta berkenalan dengan tiga orang Tok Batin secara sekali gus.
“Kami tidak pernah menjejakkan kaki ke perkampungan Orang Asli. Oleh itu, kami kagum dengan kehidupan mereka di persekitaran tenang serta kampung yang bersih.
‘Selain itu, terdapat pelbagai kemudahan telah dibina kerajaan seperti surau, sekolah, dewan, tandas awam serta perpustakaan bagi kegunaan penduduk setempat,” katanya.
Seorang peserta, R. Pavitra pula mengakui, pada mulanya dia gentar untuk menyertai program berkenaan kerana beranggapan Orang Asli masih memakai cawat dan tinggal di dalam hutan.
“Saya dibesarkan di bandar dan inilah kali pertama saya sampai ke kawasan perkampungan Orang Asli. Memang saya terkejut kerana rata-rata Orang Asli di sini mempunyai pekerjaan yang baik bahkan terdapat beberapa jururawat dari Kementerian Kesihatan turut tinggal di kampung ini,” katanya.










