Kedamaian, keharmonian akan kembali dikecapi jika Waytha Moorthy dipecat - Utusan Malaysia

Kedamaian, keharmonian akan kembali dikecapi jika Waytha Moorthy dipecat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 20 Dis. – Keharmonian di dalam negara ini akan kembali dikecapi sekiranya Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy segera digugurkan dari barisan Kabinet.

AWANG HASHIM
AWANG HASHIM 

Ahli Parlimen Pendang, Awang Hashim berkata, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sudah tiada pilihan lagi melainkan memecat Waytha Moorthy dan menggantikan pemimpin yang lebih sesuai sebagai menteri yang menjaga perpaduan.


Katanya, bekas Pengerusi Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (HINDRAF) itu dilihat sebagai punca sehingga menimbulkan kecelaruan di dalam negara ketika ini khususnya melibatkan soal perkauman.


“Dia (Waytha Moorthy) bukan susuk tubuh yang sesuai menjadi menteri perpaduan selain rekodnya pada 10 tahun lalu (menfitnah Malaysia di negara luar) menyebabkannya tidak digemari majoriti rakyat khususnya yang beragama Islam,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.


Kemarahan rakyat terhadap Waytha Moorthy tercetus apabila beliau mengumumkan kerajaan akan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) pada suku pertama tahun hadapan.


Ia berterusan apabila menteri yang memegang portfolio Perpaduan dan Kesejahteraan Sosial itu gagal memainkan peranan dalam usaha menenteramkan keadaan ketika kejadian rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya dan memuncak apabila anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim yang dipukul dalam kejadian rusuhan itu me­ninggal dunia kelmarin.


Mengulas lanjut, pemimpin Pas itu berkata, Dr. Mahathir dilihat telah membuat kesilapan apabila melantik Waytha Moorthy sebagai menteri.
Katanya, masih belum terlambat untuk Dr. Mahathir mengambil tindakan selain perlu melihat desakan rakyat yang mahu melihat Waytha Moorthy dipecat.


“Untuk kita melihat kembali kedamaian dan keharmonian di negara ini, individu ini perlu segera digugurkan,” katanya.- UTUSAN ONLINE



Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN