Keaiban bunuh keajaiban - Utusan Malaysia

Keaiban bunuh keajaiban

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

EMPAT puluh tahun yang lampau, keajaiban, kepintaran dan kesepakatan semua pemegang-taruh Melayu buktikan pengurusan korporat Melayu bersendikan nilai-nilai murni Islam mampu gegarkan dunia dengan kejutan luar biasa, melakukan dawn raid. Ada beberapa lagi keajaiban sehebat itu pernah dicipta.

Empat puluh tahun selepas insiden itu dunia korporat Melayu Islam sekali lagi menggegar dunia, dengan melakukan sebaliknya. Pengabaian dicipta.

Ini semua terjadi berpunca dari kegagalan dunia korporat orang Melayu-Islam itu sendiri mengenalpasti dengan tepat siapakah munafik dalam kalangan mereka dan membiarkan mereka menceroboh kepimpinan dan pengurusan dunia korporat Melayu-Islam.

Sedikit demi sedikit keajaiban yang pernah ditempa empat puluh tahun silam terbunuh dan yang tinggal hanyalah keaiban. Dalam hal ini, saya amati kemelut di Tabung Haji ini sudah menjadi medan politik antara dua kelompok institusi politik orang Melayu yang hari ini berseteru sesama mereka, tapi belum pasti esok mereka masih berseteru.

Yang saya terkilan bukanlah sangat tabii orang politik itu, tetapi bagaimana tiga lagi pemegang taruh lain terjebak sama dalam kemelut itu.

Pertama, mengapa perlu pengurusan kanan Tabung Haji terikut rentak pemain-pemain politik dalam mencaturi kemelut tersebut. Biarkanlah orang politik dengan mainan politik mereka. Bukankah pengurusan kanan di Tabung Haji, sama sepertimana pengurusan lain-lain institusi korporat?

Bukankah mereka terikat dengan beberapa peraturan dan tatacara dalam melaporkan atau memaklum sebarang salah laku dalam institusi diurusnya?

Apabila pihak pengurusan kanan mendedahkan ada kemungkaran dilakukan oleh kepimpinan atau pengurusan lepas, mereka sepatutnya bertindak mengikut prosedur dan tidak sewenang-wenangnya membiarkan maklumat bocor atau dibocorkan.

Jauh sekali memberitahu atau memaklumkan pihak awam mengenai apa isunya dan siapa terbabit. Mereka sepatutnya mengekalkan semua perkara itu sebagai rahsia dan tidak boleh diketahui awam, hinggalah pendakwaan dibuat.

Jika mereka berhasrat membuat sebarang kenyataan, pihak lembaga pengarah wajib terlebih dahulu dirujuk dan memberi laluan. Selepas itu, di pihak pengurusan pula wajib mendapatkan laluan dari pihak perhubungan awam korporat dan perundangan agar implikasi dari pemberitahuan itu tidak menjejaskan hak, maruah dan reputasi pihak-pihak terkesan.

Pendedahan

Kedua, apabila ada dalam kalangan lembaga pengarah membuat pendedahan sama, tindakan sedemikian adalah tidak wajar. Di sisi perundangan, lembaga pengarah berkenaan sudah melanggar tatacara dan etika peranan dan tanggungjawab sebenar. Kononnya beliau bertindak demikian untuk menegak kebenaran.

Jika benar sekalipun perlukah beliau perkenalkan siapa orangnya dengan menurunkan senarai lengkap kedudukan dalam Tabung Haji, kelulusan serta latar belakang beliau.

Pendedahan kepada awam menerusi media massa bukan cara terbaik bagi beliau bertindak. Sekalipun mesej hendak dikongsi dengan pihak awam ada kebenarannya tetapi tatacara dipilih adalah salah dan pihak menjadi mangsa punyai hak untuk bertindak balas menerusi proses perundangan.

Saya melihat pihak ketiga iaitu pihak awam juga bersalah mengeruhkan lagi kemelut ini. Apatah lagi kini semua ada senjata moden dalam kocek yang dibawa ke sana sini.

Apabila menerima sesuatu berita, mereka akan tularkan tanpa usul periksa, atau terus menghukum golongan terkesan itu. Itulah apa yang terjadi kepada enam penama dalam satu kes yang dihebahkan pengurusan kanan Tabung Haji.

Belum pun mahkamah mendapati mereka bersalah, mereka sudahpun diadili orang Melayu-Islam di zaman moden ini. Mereka diaibkan. Insaflah wahai Melayu-Islam, janganlah kita menjadi orang Islam sekadar berbekal amalan yang ritual saja tetapi terapkan amalan Islam dalam cara hidup kita.

Saya ingin mencadangkan agar Majlis Raja-Raja Melayu memerintahkan kerajaan menstruktur semula salah sebuah institusi kemajuan Islam belum dibubarkan. Jadikan ia sebagai Akademi Kepimpinan dan Pengurusan Korporat Islam.

Akademi ini perlu tawarkan kursus latihan dan penarafan setanding CPA misalnya. Mereka yang hendak dilantik ke dalam kepimpinan atau pengurusan semua institusi kepentingan Melayu-Islam wajib memiliki chartered certificate dari akademi ini.

Sijil itu wajib diperbaharui secara berkala dan setiap pemegang sijil itu wajib mengikuti kursus re-induction yang ditetapkan. Seandainya dalam tempoh memegang sijil itu didapati dan terbukti melakukan kesalahan kriminal korporat, secara automatik sijil itu terbatal. Sekali gus mereka itu hilang kelayakan untuk menerus atau memegang jawatan kepimpinan atau pengurusan dalam mana-mana institusi kepentingan Melayu-Islam.

Kita pernah mencipta keajaiban. Kini kita melalui satu fasa yang menguji ketakwaan. Kita terima ujian ini dan bangkit menebus maruah yang tercalar. Insha-Allah, dengan izin-Nya kita semua mampu menjadi ummah yang Berani, Hebat, Bermaruah, dan Berkat.

DATUK DR. HASAN MAD ialah Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN