Kasut hitam atau putih ya? - Utusan Malaysia

Kasut hitam atau putih ya?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NAK beli warna apa ya? Hitam ke putih. Kepada ibu bapa dan penjaga budiman sekalian, jangan dengar pekeliling tanpa membaca penuh pekeliling tersebut. Penggunaan kasut hitam secara sepenuhnya adalah bermula dari tahun 2021.

Sedar atau tidak bahawa harga kasut putih turun mendadak sampaikan ada kedai menjual kasut putih berkualiti dengan harga RM9.53 sepasang. Jika kita beli kasut hitam untuk 2019, adakah kasut hitam itu boleh tahan dan boleh diwarisi untuk adik beradik yang lain sehingga menjelang 2021?

Saya rasa jawapannya sudah pasti. Kalau dilihat cara konsumsi kasut tiga orang anak saya, sepanjang sesi persekolahan, kasut akan diganti atas sebab lunyai atau koyak. Begitu juga dengan stoking hitam yang harganya semakin naik mencanak seiring dengan kenaikan harga kasut hitam.

Stoking kalau dipakai lima hari seminggu walaupun secara berganti akan koyak dan berlubang. Maka tepuk dada tanya kemampuan kewangan. Untuk sesi persekolahan 2019 pakai sahaja kasut dan stoking putih kerana harganya mampu milik.

Apabila sesi persekolahan 2020 nanti belilah kasut hitam kerana kemungkinan masih lagi elok untuk dibawa dan diwarisi ke tahun persekolahan 2021.

Pilihan di tangan anda. Untuk sesi 2019 saya pilih kasut putih kerana harganya sekarang murah, banyak pilihan berkualiti dan dapat melatih anak saya berdisiplin mencuci kasut di hujung minggu.

Seperkara lagi yang menuntut saya untuk menulis pada kali ini ialah berkenaan dengan sumbangan PIBG yang setiap akhir tahun menjadi bahan perbualan dalam kalangan ibu bapa dan penjaga di Malaysia.

Ini adalah berdasarkan pengalaman saya menjadi YDP PIBG selama tiga penggal setakat ini. Adalah amat jarang untuk kita melihat seseorang menawarkan diri untuk menjadi AJK PIBG di sesebuah sekolah.

Persepsi bahawa untuk menjadi seorang AJK PIBG menuntut seseorang itu mempunyai wang yang banyak adalah salah dan perlu diperbaiki. Saya pada asalnya dicalonkan menjadi YDP PIBG tanpa rela akan tetapi setelah tiga tahun menjawat jawatan yang sama saya rasakan bahawa skop tugasan AJK PIBG adalah luas dan merentasi bukan sahaja untuk mencari dana untuk aktiviti sekolah.

Bagi saya dua perkara yang amat penting dalam kemenjadian sesebuah PIBG di sekolah ialah idea dan masa. Sebenarnya untuk sekolah yang mempunyai lebih kurang 1,000 orang pelajar, ia menuntut PIBG dapat mencari dana agak banyak untuk menyempurnakan aktiviti-aktiviti wajib sekolah seperti Hari Sukan, Hari Kecemerlangan dan acara-acara lain.

Amaun sumbangan PIBG ada kaitan dengan jumlah bilangan pelajar di sesebuah sekolah dan juga jenis sekolah. Untuk sekolah yang mempunyai bilangan pelajar yang ramai, selalunya amaun sumbangan PIBG yang dituntut dari sebuah keluarga adalah amat rendah.

Dan untuk sekolah berasrama penuh, amaun tersebut akan menjadi besar kerana terdapat aktiviti-aktiviti yang sesuai untuk jenis sekolah seperti itu.

Sikap cuci tangan dan tidak ambil tahu ibu bapa perlu dibuang segera jika kita ingin lihat anak kita cemerlang dari segi akademik, ko-kurikulum serta sahsiah.

Menjadi AJK PIBG ialah satu tanggungjawab tidak bergaji yang perlu disokong serta dibantu oleh semua pihak bukan sahaja para ibu bapa dan guru, malah dari komuniti setempat.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN