Kasih Tengku Permaisuri Norashikin - Utusan Malaysia

Kasih Tengku Permaisuri Norashikin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DAHULU ia hidup terbiar. Makanannya hanyalah apa yang diselongkar dalam tong sampah. Kalau nasibnya baik, adalah insan mulia yang memberikannya makanan.

Namun kini kucing itu hidup sihat hingga dinamakan Snowy kerana warna bulunya yang putih dan gebu. Tempat makannya pula umpama sebuah pavilion.

Mungkin tidak tercapai oleh akal fikiran kita untuk berbuat demikian, namun apa yang boleh dirangkumkan, begitulah tanda kasih Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman untuk memberi perlindungan kepada haiwan-haiwan terbiar.

Pavilion itu dibina khusus oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Norashikin untuk kucing-kucing liar di sekitar kawasan kediaman persendirian baginda.

Inisiatif Tengku Permaisuri Norashikin bukan setakat di situ sahaja malah diteruskan menerusi kempen oleh Persatuan Pencegahan Penganiayaan Haiwan Selangor (SPCA) Selangor iaitu Stray Free Selangor (SFS) yang mana baginda adalah Penaung Diraja.

Menurut Pengerusi Bersama SFS, Datin Dr. Norely Abd. Rahman, kempen berkenaan bertujuan memastikan haiwan-haiwan liar seperti kucing dan anjing tidak dianiaya semata-mata mahu dikawal populasi.

Katanya, kaedah ‘tangkap dan bunuh’ yang dilaksanakan pihak berkuasa tempatan bagi menangani isu lambakan haiwan liar tidak berperikemanusiaan selain tidak berkesan serta menelan belanja besar, maka diperkenalkan pengasian.

“Kalau bagi makan saja, haiwan-haiwan ini lagi sihat. Jika sihat, lagi aktiflah beranak maka kitaran ini akan terus berulang tanpa kesudahan.

“Justeru, Tengku Permaisuri Norashikin menggalakkan kaedah pemandulan,” katanya kepada Mingguan Malaysia, kelmarin.

Sejak dilancarkan pada Mac tahun lalu, kempen SFS yang mendapat sokongan penuh kerajaan negeri berjaya mengumpulkan kutipan kira-kira RM700,000.

Dana tersebut disalurkan kepada mana-mana pemilik atau penyelamat haiwan yang tidak berkemampuan untuk melaksanakan kaedah pengasian terhadap kucing atau anjing peliharaan masing-masing.

Norely yang ialah kekanda kepada Tengku Permaisuri Norashikin memberitahu, sayangnya kepada kucing memang sudah sebati dalam diri baginda sejak dari kecil lagi.

Sifat itu dibawa sehinggalah ke hari ini yang mana baginda membela lebih 10 ekor kucing yang dikutip di jalan, pasar dan restoran yang sering dikunjunginya.

Tidak hairanlah apabila berlaku ke­jadian dua pemu­da memasukkan seekor kucing ­bunting ke dalam mesin pengering pakaian di sebuah kedai dobi di Gombak, baru-baru ini, baginda menzahirkan rasa terkejut dan marah dengan perbuatan zalim sedemikian.

Baginda yang turut sedih dengan kejadian itu menyifatkan mereka yang melakukan penganiayaan tersebut sudah hilang sifat kemanusiaan.

Lantas baginda menulis surat kepada Ketua Pengarah Veterinar agar mengambil tindakan terhadap si pelaku perbuatan kejam itu.

Moga usaha Tengku Per­­maisuri Norashikin mahu menjadikan Selangor sebagai Negeri Bebas Haiwan Jalanan menjadi kenyataan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN