IPOH 20 Dis. – Lebih 100 pegawai termasuk ketua-ketua balai dan zon-zon dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak menyertai majlis bacaan Yasin, tahlil dan doa selamat buat Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim serta enam lagi anggota bomba yang mati lemas dalam operasi mencari dan menyelamat di Tasik Putra Perdana, Puchong, Oktober lalu.
Timbalan Pengarahnya, Sayani Saidon berkata, majlis itu diadakan sebagai menzahirkan rasa dukacita atas tragedi menimpa bomba pada tahun ini yang disifatkan sebagai satu kehilangan besar buat jabatan kerana kehilangan begitu ramai anggota.
“Jadi, majlis ini kita akan adakan sebagai satu tanda solidariti dalam satu pasukan selain sama-sama juga mendoakan kesejahteraan terutamanya buat rakan-rakan yang berada dalam jabatan, bagi tahun ini dan tahun-tahun mendatang.
“Program ini juga kita adakan bagi sama-sama mengingati bahawa peristiwa ini adalah sangat besar dan tidak pernah terjadi dalam sejarah negara tetapi telah pun berlaku. Ini menunjukkan bahawa JBPM sendiri mengalami perubahan cabaran sangat mencabar yang tidak terjangka sehingga menyebabkan kehilangan jawa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas selesai majlis berkenaan yang diadakan di Dewan Serbaguna JBPM Perak dan turut diisi dengan pengisian solat Zohor dan solat hajat secara berjemaah.
Dalam pada itu, Sayani berkata, langkah itu juga diharap dapat membangkitkan lagi semangat satu pasukan dalam jiwa anggota bomba supaya walau apa pun rintangan mendatang, mereka akan terus memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat. – UTUSAN ONLINE










