Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, integriti membawa maksud kejujuran dan ketulusan. Nilai ini cukup penting bagi setiap pemimpin khususnya mereka yang menerajui syarikat kewangan dan pelaburan seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB).
Menerusi naskhah In Trust: A History of PNB, para pembaca dapat mendalami bagaimana nilai integriti dan amanah telah berjaya membentuk kekuatan syarikat tersebut.
Baik amanah daripada kerajaan, mahupun amanah daripada pemegang unit – peringatan untuk mempertahankan kepercayaan ini sentiasa ditanamkan dalam kalangan semua kakitangan PNB tanpa mengira jawatan dan pangkat.
Maka tidak hairanlah apabila pihak pengurusan dan kakitangan PNB sentiasa teguh menegakkan prinsip integriti dan tata pentadbiran yang baik sehingga berjaya meraih serta mengekalkan

Ismail Ali menjadi penghias muka
depan majalah Asiaweek berikutan
kejayaan beliau dalam memberi
penerangan kepada masyarakat
bumiputera tentang kepentingan
pelaburan.
kepercayaan daripada para pelaburnya sejak 1978 sehingga ke hari ini.
Gambaran orang-orang terkemuka yang memainkan peranan utama dalam PNB telah dipersembahkan dengan cukup berkesan dalam keseluruhan buku setebal 832 muka surat itu.
Menariknya, penulisan buku ini turut menyelitkan pelbagai anekdot dengan mendalami kehidupan pemimpin PNB secara naratif khususnya Allahyarham Tun Ismail Mohamed Ali, iaitu individu utama yang memainkan peranan penting dalam penubuhan syarikat tersebut.
Pengalaman bekerja di bawah Ismail turut dikongsikan oleh bekas pemimpin dan tokoh PNB antaranya Tun Ahmad Sarji, Tan Sri Khalid Ibrahim dan Tan Sri Hamad Kama Piah yang rata-rata menyifatkan Pengerusi pertama PNB itu sebagai seorang yang cukup profesional, bertanggungjawab, berkarisma dan sangat menepati masa.
Menurut Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Dr. Zeti Aziz, Ismail merupakan perintis pertama di Bank Negara Malaysia (Bank Negara) dan keperibadiannya yang sentiasa mengekalkan piawaian kecemerlangan dan integriti tertinggi telah meninggalkan kesan positif yang mendalam kepada kedua-dua institusi ini.
Beliau yang juga bekas Gabenor Bank Negara pada tahun 2000 hingga 2016 berkata, kelebihan yang dimiliki Ismail itu menjadi asas kukuh kepada dua institusi tersebut untuk terus memainkan peranan penting selama beberapa dekad di negara ini.
“Selama 40 tahun, kami cukup bangga kerana tradisi terhadap integriti dan amanah yang amat integral dalam setiap aspek perniagaan di PNB tetap dipegang teguh.
“Dua nilai ini bersifat saling berkaitan, sangat relevan dan penting bagi mana-mana organisasi untuk memiliki kuasa tetap sebenar,” katanya.










