Orang kampung semakin mengeluh. Begitu juga dengan peneroka. Getah dan sawit yang selama ini menjadi punca rezeki nampaknya tidak banyak dapat membantu gara-gara harganya yang terus jatuh. Memang kasihan. Jika dahulu mereka mampu meraih pendapatan antara RM2,000 hingga RM3,000 sebulan kini hendak dapat RM500 pun seksa.
Bak kata orang, untuk dapatkan RM500 itu terpaksa kerja keras dan kalau hendak dapatkan RM1,000 terpaksa dua kali ganda kerja keras. Ini realiti dan inilah yang berlaku sekarang. Mereka terpaksa buat dua atau tiga kerja sehari. Itu pun jika ada kerja kosong di pekan berhampiran.
Hakikatnya, zaman sekarang bukan mudah untuk mencari kerja kosong ekoran keadaan ekonomi yang tidak menentu. Berbanding pekebun sawit, mereka yang menoreh getah lebih terasa. Apatah lagi sekarang ini musim tengkujuh.
Mereka tidak boleh keluar menoreh. Itu yang menyebabkan banyak pihak khususnya netizen begitu lantang mengkritik kenyataan Menteri Industri Utama, Teresa Kok di Dewan Rakyat akhir bulan lalu yang mencadangkan penoreh getah menoreh pada musim tengkujuh bagi meningkatkan pendapatan.
Jangan begitu menteri. Ini bukan masa untuk memberi cadangan atau saranan yang tidak munasabah. Cuba fikirkan satu jenis bantuan yang boleh disalurkan kepada golongan terbabit. Mereka sekarang ini benar-benar dalam kesusahan.
Dengar-dengar juga menteri-menteri dalam kerajaan Pakatan Harapan yang meraih pendapatan bulanan berpuluh-puluh ribu seperti mana yang dipaparkan dalam laman web khas mydeclaration.sprm.gov.my.
Antaranya Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan isteri, Betty Chew Gek Cheng memiliki pendapatan tertinggi iaitu sebanyak RM86,464.92, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pula sebanyak RM50,253.88 dan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik (RM54,569.81). Ya, itu hak mereka dan sesuai dengan jawatan yang dipegang. Cuma fikirkanlah nasib penoreh getah dan pekebun sawit kita ini. Hidup mereka begitu tersepit. Tidak banyak barang keperluan yang boleh dibeli jika pendapatan hanya sekadar RM400 hingga RM500 sebulan.
Bagi mereka yang menoreh getah kebun orang lain, lagilah parah. Terpaksa kongsi dua. Mereka cuma dapat RM200 atau RM300 sebulan. Hanya cukup untuk beli barang-barang dapur dan makanan. Yang lain-lain terpaksalah cari jalan lain.
Paling dirunsingkan belanja persiapan anak-anak ke sekolah. Bukan lama lagi. Masuk sahaja bulan Januari tahun depan bermulalah sesi persekolahan baharu. Bayangkan kalau duit tidak ada untuk beli persiapan sekolah anak-anak. Realitinya, kelengkapan sekolah sekarang bukannya murah.
Mahu tidak mahu kerajaan perlu berbuat sesuatu kerana ini soal kemanusiaan. Bukankah dalam manifesto mereka dahulu, antara isu yang diberikan keutamaan ialah membantu rakyat, membela nasib rakyat dan mengurangkan kos hidup rakyat. Sekarang golongan penoreh getah dan pekebun sawit, hidup mereka susah. Tidak terkecuali golongan nelayan. Oleh itu sudah tiba masanya kerajaan menunaikan segala janji dengan segera menghulurkan bantuan kepada golongan ini agar beban mereka dapat dikurangkan.
Di sini penulis ingin mengesyorkan agar Kementerian Pendidikan yang diterajui Maszlee boleh memikirkan satu dana atau bantuan khas untuk menolong anak-anak penoreh getah, pekebun sawit dan nelayan memulakan persekolahan daripada mengeluarkan kata-kata yang boleh mengundang kontroversi.
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah tentu lebih arif tentang perkara itu. Ini kerana ketika beliau memegang portfolio Menteri Pendidikan dalam kerajaan Barisan Nasional (BN) kerajaan pernah memberikan bantuan awal persekolahan sebanyak RM100 untuk satu pelajar bagi mengurangkan beban keluarga.
Kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim teruskan usaha membela golongan ini. Desak kerajaan agar mereka segera menghulurkan bantuan kepada golongan terbabit kerana sebagai bakal Perdana Menteri kata-kata Pak Anwar pasti mudah didengari.










