PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenal pasti seramai 13 orang Ahli Parlimen kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang masih belum membuat pengisytiharan harta masing-masing setakat ini.
Timbalan Ketua Pesuruhajaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamshun Baharin Mohd. Jamil berkata, pihaknya turut mengenal pasti 24 orang Anggota Pentadbiran termasuk setiausaha politik yang belum berbuat demikian.
Beliau bagaimanapun berkata, tiada tempoh tetap untuk anggota pentadbiran kerajaan itu mengisytiharkan harta mereka kerana ia adalah sebahagian janji PH dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.
“Terpulang kepada mereka untuk isytihar harta masing-masing kerana itu janji-janji mereka sebelum ini dan tiada peruntukan undang-undang khusus bagi mewajibkan mereka berbuat sedemikian.
“Hal ini kerana tertakluk kepada Kod Etika Anggota Pentadbiran Kerajaan dan Kod Etika Ahli Parlimen untuk Anggota Kabinet dan Ahli Parlimen bagi pengisytiharan harta,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Walkabout Perdana Hari Anti Rasuah Antarabangsa 2018 di ibu pejabat SPRM di sini hari ini.
Majlis itu disempurnakan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull. – K! ONLINE










