PENGANJUR Sukan SEA 2019, Filipina berhasrat untuk memecahkan tradisi temasya pada perlumbaan berbasikal bagi disiplin lepas beramai-ramai lelaki apabila hanya membenarkan penyertaan dua orang pelumba bagi setiap negara dalam acara berkenaan.
Tindakan tersebut jelas bertentangan dengan penganjuran mana-mana temasya yang membenarkan setiap negara menghantar empat orang pelumba seperti kebiasaannya.
Ahli Delegasi Teknikal Berbasikal Sukan SEA 2019, Datuk Abu Samah Abd. Wahab berkata, pihaknya sedang berusaha untuk mengemukakan semula usul agar semua negara ASEAN dapat menghantar atlet seperti biasa yang dilakukan pada sukan berstatus temasya.
“Jika anda sertai acara lepas beramai-ramai di Sukan Olimpik, Sukan Asia atau Sukan Komanwel, jumlah penyertaan adalah empat pelumba setiap negara. Ini amalan biasa pada mana-mana kejohanan besar.
“Bagaimanapun, penganjur acara lepas beramai-ramai Sukan SEA 2019 hanya membenar dua pelumba daripada setiap negara di rantau Asia Tenggara.
“Saya fikir hanya 10 negara akan sertai acara lepas beramai-ramai. Bermakna hanya 20 pelumba di atas jalan. Biasanya 40 pelumba. Saya fikir tindakan ini sangat melucukan dan bertentangan amalan sedia ada.
“Pada masa yang sama, saya telah berbincang dengan pengurus pasukan acara lepas beramai-ramai. Saya minta beliau kemukakan semula usul minta semua negara di ASEAN senaraikan empat pelumba untuk acara lepas beramai-ramai,” katanya semalam.
Dalam pada itu, Abu Samah turut mendedahkan bahawa Filipina seolah-olah mempunyai muslihat tersendiri apabila menyenaraikan sukan berbasikal yang tidak popular di rantau Asia Tenggara seperti BMX Freestyle Park, BMX Freestyle Street dan BMX Freestyle Best Trick di Sukan SEA 2019.
Sebelum ini, Filipina juga enggan menyenaraikan acara berbasikal trek dengan alasan acara berkenaan memerlukan peruntukan yang sangat tinggi.
Sembilan acara berbasikal lelaki yang disenaraikan ketika ini ialah BMX Track, BMX Freestyle Park, BMX Freestyle Street, BMX Freestyle Best Trick, berbasikal bukit (MTB) rentas desa; MTB turun bukit, lepas beramai-ramai individu, ujian masa individu dan ujian masa berpasukan.
Acara wanita pula ialah MTB rentas desa, MTB turun bukit, ujian masa individu dan lepas beramai-ramai.










