KUALA LUMPUR 20 Dis. – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan mengadakan pertemuan bersama Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional (PFAM) dan wakil setiap persatuan negeri serta kelab bagi membincangkan isu klausa perjanjian pemain bagi mengelakkan masalah sama berulang setiap tahun.
Seperti diketahui, masalah perpindahan pemain sering berlaku setiap kali memasuki musim baharu Liga Malaysia dengan kebanyakannya berkisar tentang penebusan kontrak serta beberapa klausa lain yang ada dalam kontrak semasa.
Masalah berlaku apabila ada sesetengah pengurusan tidak memahami atau keliru dengan klausa yang ditetapkan sehingga menyukarkan pemain untuk menyertai kelab baharu.
Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan semua yang terlibat untuk memperhalusi setiap klausa yang terdapat di dalam kontrak agar masalah seperti itu tidak berulang.
Katanya, ini merupakan kali pertama dia berdepan isu seperti itu selepas menyertai badan induk bola sepak negara, namun, perkara tersebut boleh diselesaikan dengan cara yang betul.
Beliau memberitahu, menerusi perbincangan yang akan diadakan tidak lama lagi, setiap klausa bakal diperhalusi agar selaras dengan konsep bola sepak moden.
“Kita akan kaji semula klausa-klausa yang ada di dalam kontrak pemain supaya ia menjadi lebih ‘debatable’ kepada semua pihak.
“Saya tidak boleh ulas lanjut mengenai isu kontrak semasa pemain kerana ini kali pertama saya berdepan isu ini tetapi kemungkinan ada berlaku kekeliruan dalam klausa pemain, mungkin dahulu pengurusan lama yang adakan kontrak itu dan pengurusan baharu tidak begitu jelas dalam perkara berkenaan, kemungkinan seperti ini memang ada.
“Jadi, kami akan bertemu dengan PFAM dan semua kelab untuk keluarkan atau perbaiki klausa-klausa di dalam kontrak pemain supaya perkara menjadi lebih jelas untuk semua,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Terbaharu, isu melibatkan perpindahan Akhyar Rashid menjadi perbalahan di antara Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) dan Johor Darul Ta’zim (JDT) berpunca daripada klausa penebusan kontrak.
FAM sebelum ini mengumumkan Akhyar boleh menebus baki kontraknya selama setahun bernilai RM210,000 kepada KFA bagi membolehkan dia bergelar ejen bebas.
Selepas bergelar ejen bebas, mana-mana pasukan yang ingin mendapatkan khidmatnya perlu melunaskan RM75,000 kepada KFA sebagai pampasan untuk latihan dan pembangunan.










