KUALA LUMPUR 4 Dis. – Orang ramai yang menyertai perhimpunan #DaulatHimpunan812 diminta untuk menjaga tutur kata terutama melibatkan isu perkauman selain mengelak daripada menimbulkan situasi lebih tegang.
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini kerana masih ada isu yang belum selesai seperti Kuil Sri Maha Mariamman dan dibimbangi jika perkara tersebut berlanjutan, masyarakat akan mula takut.
“Jika ada peserta perhimpunan yang mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman, itu adalah sesuatu yang sangat tidak bertanggungjawab,” tegasnya dalam sidang akhbar selepas menghadiri mesyuarat bulan bersama warga polis di Ibu pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.
Menurut Muhyiddin, kerajaan kini bersikap terbuka dengan keputusan rakyat untuk menyuarakan pendapat dan pendirian mereka namun setiap peserta perhimpunan diminta untuk mematuhi Akta Perhimpunan Aman (APA 2012) bagi mengelak sebarang kekecohan berlaku.
Dalam pada itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun memberitahu, pemantauan rapi akan dilakukan pihaknya sepanjang perhimpunan berlangsung bagi memastikan perhimpunan terbabit diadakan mengikut saluran undang-undang.
“Kita akur dengan keputusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang membenarkan perhimpunan itu berlangsung di Dataran Merdeka dan Jalan Raja pada Sabtu ini.
“Kita akan buat persediaan yang perlu untuk memastikan mereka yang berhimpun tidak akan menimbulkan kekecohan dan masalah keselamatan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Diploma Kepolisan dan Penyiasatan kepada pelajar Kolej Unikop di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini hari ini.
Tambah Mohamad Fuzi, sehubungan itu, surat kebenaran mengenai perhimpunan terbabit akan diserahkan kepada pihak penganjur hari ini atau esok.
“Jadi, diharap pihak penganjur dan semua yang terlibat dapat mematuhi peraturan yang ditetapkan sehingga tamat perhimpunan itu,” jelasnya.
Akhbar hari ini melaporkan, DBKL membenarkan perhimpunan ‘kesyukuran’ meraikan kejayaan menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di Dataran Merdeka Sabtu ini.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, kebenaran itu diputuskan selepas mengadakan perbincangan dengan polis dan yakin perhimpunan akan diadakan secara aman.
Bagaimanapun perhimpunan yang dijangka berlangsung di sekitar Dataran Merdeka dan Jalan Raja di sini itu hanya dibenarkan selama empat jam bermula dari pukul 2 hingga 6 petang.










