GAZA 8 Dis. – Rasa tanggungjawab dan perpaduan dalam kalangan komuniti antarabangsa berjaya menyekat resolusi yang dikemukakan oleh Amerika Syarikat (AS) di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) untuk mengecam pergerakan Palestin.
Pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh dalam satu kenyataan seperti yang dipetik PressTv sebagai berkata, keputusan itu menunjukkan majoriti komuniti antarabangsa berdiri bersama untuk mempertahankan hak penduduk Palestin, termasuk hak menghalang pencerobohan serta penindasan yang dilakukan oleh rejim Zionis di wilayah Palestin.
Sehubungan itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua negara yang berani menentang dasar Israel yang agresif, sekali gus menolak sokongan berat sebelah AS terhadap Tel Aviv.
Ismail juga menyifatkan kegagalan resolusi itu sebagai satu kejayaan terbesar untuk semua penduduk Palestin dan negara-negara yang menyokongnya.
Beliau turut menghargai jasa serta usaha yang dilakukan oleh Duta Palestin ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Riyad Mansour dengan menegaskan kegagalan resolusi itu menunjukkan keprihatinan pelbagai pihak untuk membantu Palestin berdepan dengan konflik yang berlaku.
Dalam pada itu, jurucakap pergerakan Jihad Islam Palestin, Daoud Shihab menegaskan, kegagalan resolusi itu dilihat sebagai satu tamparan besar kepada pentadbiran Presiden Donald Trump dan rejim Zionis.
Beliau berterima kasih kepada Kuwait, Iran serta semua negara yang membantah resolusi berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, keputusan PBB untuk menolak resolusi tersebut menunjukkan satu ‘peralihan besar’ dalam polisi Washington.
Menurut penganalisis politik, Scott Bennett, penolakan resolusi itu menunjukkan dunia kini tidak mahu lagi mengikut langkah berterusan AS menentang Palestin, selain mereka juga tidak akan menyokong penindasan Israel.
“Situasi itu dilihat sebagai satu peralihan besar terhadap pencerobohan dan polisi agresif Israel di wilayah Palestin,” katanya.
Jelasnya, pengundian tersebut menyaksikan kerjaya politik Duta AS ke PBB, Nikki Haley berada dalam keadaan ‘gagal’.
Haley bakal meninggalkan jawatan tersebut pada hujung tahun ini.
“Beliau tidak pernah mempunyai pengaruh politik atau keperibadian untuk memujuk logik hujahnya kepada dunia, sebaliknya bergantung pada kekerasan, ancaman, ugutan dan taktik lain,” katanya.
Semalam, Trump menamakan jurucakap Jabatan Negara, Heather Nauert untuk menggantikan Haley.
Sementara itu, kira-kira 10,000 penduduk Palestin mengadakan tunjuk perasaan di kawasan sempadan Gaza dan Israel dengan sebahagian daripada mereka membakar tayar dan membaling batu serta bom ke arah tentera Israel.
Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan sekurang-kurangnya 33 orang cedera dalam tunjuk perasaan itu.









