Dua warga China didera, digari dan dikurung - Utusan Malaysia

Dua warga China didera, digari dan dikurung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG 21 Dis. – Dua lelaki warga China dijanjikan pekerjaan sebagai tukang taip di negara ini namun dipaksa bekerja sebagai pengendali operasi perjudian online sejak sebulan lalu.

Malah, dua lelaki berusia lingkungan 20-an itu turut didera, digari dan dikurung dalam sebuah bilik sebelum diselamatkan pihak polis menerusi serbuan di banglo mewah di Taman Equine, di sini petang semalam.

Menurut seorang daripada mangsa yang didera, dia memaklumkan terpedaya dengan notis dalam media sosial yang menawarkan pekerjaan sebagai tukang taip ketika berada di China pada awal November lalu.

Ujarnya, dalam notis itu, gaji yang ditawarkan sebanyak 7,000 yuan (RM4,262) sebulan jadi saya datang ke negara ini pada akhir November lalu.

“Bagaimanapun, apabila tiba di sini saya dapat tahu ditipu dan mahu pulang ke China kerana tidak mahu bekerja jadi saya dan rakan cuba untuk melarikan diri dari rumah berkenaan, namun kami dipukul.

“Pasport saya dan rakan turut dirampas sindiket terbabit menyebabkan saya nekad lari dari rumah itu, petang tadi (semalam),” katanya ketika ditemui di banglo mewah berkenaan, di sini, hari ini. 

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, serbuan tersebut dijalankan selepas pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung kegiatan sindiket yang menjadikan banglo mewah berkenaan sebagai pusat operasi judi dalam talian sejak hampir sebulan lalu. 

“Dalam serbuan pada pukul 4.10 petang itu, sebanyak 32 individu termasuk tiga wanita warga China berusia antara 20 dan 52 tahun yang bekerja dengan sindiket sebagai pengendali pertaruhan perjudian online turut ditahan.

“Sindiket ini mempromosikan pertaruhan judi online menerusi media sosial dan menyasarkan oemain dari China.

“Semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang untuk siasatan lanjut mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN