Dua Datuk didakwa terima wang deposit secara haram - Utusan Malaysia

Dua Datuk didakwa terima wang deposit secara haram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPING – Dua ahli perniagaan bergelar Datuk dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima wang deposit secara haram melibatkan jumlah RM51,673 daripada dua individu sejak tiga tahun lalu. 

Tertuduh, Datuk M. Pandeyan, 57, dan Datuk Ameer Noraizeedin Abdul Wahab, 49, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Timbalan Pendaftar, Suhaima Mohd. Noor. 

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa menerima deposit daripada T. R. Subramaniam, 54, berjumlah RM47,273 tanpa lesen sah di bawah Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 di Public Bank Taiping di sini antara 23 Julai hingga 18 Ogos 2015. 

Pandeyan turut didakwa menerima deposit tanpa lesen sah daripada A. Shanmugan, 49, berjumlah RM4,400 di tempat sama pada pukul 3.17 petang 14 April 2016. 

Kedua-dua mereka dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 137(2) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda sehingga RM50 juta atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sariza Ismail. Tertuduh Pandeyan diwakili peguam bela, Md. Yunos Shariff manakala tertuduh Ameer Noraizeedin pula tidak diwakili peguam bela. 

Suhaima membenarkan Pandeyan diikat jamin berjumlah RM9,000 dengan seorang penjamin manakala Ameer Noraizeedin dibenarkan ikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin. Kedua-dua tertuduh membayar wang jaminan berkenaan. 

Mahkamah menetapkan 15 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.- K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×