KUALA LUMPUR 17 Dis. – Isteri kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali hadir ke Institut Jantung Negara (IJN) bagi melawat anggota bomba Muhammad Adib Mohd. Kassim, 24.
Beliau yang tiba kira-kira pukul 3 petang diiringi beberapa pegawai Bomba dan Penyelamat Selangor dan kakitangan IJN.
Dr. Siti Hasmah difahamkan mengambil masa selama 45 minit untuk melawat Muhammad dan beliau hanya meninjau dari luar bilik kaca tempat mangsa dirawat.
Semalam, Muhammad Adib dilaporkan kembali kritikal dan perlu menggunakan semula mesin Extracorporeal Membrane Oxygenation (ECMO) selepas paru-parunya mengalami kemerosotan yang progresif akibat jangkitan.
Institut Jantung Negara (IJN) dalam satu kenyataan berkata, Muhammad Adib terpaksa menggunakan semula mesin ECMO kira-kira pukul 9 malam kelmarin selepas penilaian mendapati paru-parunya mengeras.
Pada 11 Disember lalu, IJN memaklumkan Muhammad Adib tidak lagi memerlukan mesin ECMO untuk membantu pernafasannya.
Selain itu, pasukan doktor di IJN juga mengalihkan mesin sokongan jantung selepas jantungnya boleh berfungsi dengan sendiri pada awal bulan ini.
Muhammad Adib cedera parah dibelasah dalam kejadian rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ25, Subang Jaya dekat sini, 27 November lalu. Beliau sepatutnya melangsungkan perkahwinan pada 23 Disember ini. – UTUSAN ONLINE










