KUALA LUMPUR 17 Dis. – Delegasi Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) yang diketuai Timbalan Pengarahnya, Azfarizal Abdul Rashid mengadakan kunjungan ke Ibu pejabat Utusan Melayu (M) Berhad, di sini hari ini.
Ketibaan beliau bersama enam anggota pengurusan MPSJ itu disambut Pengurus Pengurusan Jenama, Hazura Ahmad Halil; Ketua Meja Kota, Roslah Othman serta bahagian korporat dan pemasaran Kumpulan Utusan.
Lawatan sulung Azfarizal itu bertujuan merapatkan hubungan yang sedia terjalin selain mencari ruang kerjasama dengan Utusan Malaysia dalam program-program yang diadakan oleh MPSJ.
“Saya berasa gembira berpeluang melawat dan melihat perkembangan Utusan Melayu khususnya akhbar Utusan Malaysia selain menjadi platform untuk bekerjasama dengan banyak lagi program komuniti yang sedang serta bakal dilaksanakan.
“Kami melihat kerjasama melalui peluang seperti ini dapat membantu merancakkan program komuniti yang dirancang MPSJ dalam mencapai objektif yang disasarkan,” katanya.
Delegasi itu turut meluangkan masa kira-kira tiga jam dalam sesi perbincangan selain melawat dan meninjau gerak kerja di Jabatan Pengarang Utusan Malaysia dan Kosmo!. – UTUSAN ONLINE










