IPOH 17 Dis. – Kenderaan milik seorang lelaki berpangkat Datuk ditembak oleh dua lelaki bermotosikal tepat ke arah bahagian pemandu dalam kejadian di Taman Meru 2B, di sini pagi tadi.
Mangsa berusia 50 tahun itu bagaimanapun terselamat kerana ketika kejadian pada pukul 6.56 pagi itu dia berada dalam sebuah restoran berhampiran untuk bersarapan.
Terdahulu, mangsa yang merupakan pemilik sebuah kedai dobi di sini menerima nota ugutan berbunyi ‘nyawa terakhir’ yang diselitkan di cermin hadapan kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Mitsubishi Outlander.
Difahamkan, nota tersebut diterima lelaki itu ketika dia meletakkan kenderaan berkenaan berhampiran sebuah surau untuk menunaikan solat Subuh pagi tadi.
Mangsa juga difahamkan sebelum ini pernah menerima dua kali nota ugutan dengan meminta wang sebanyak RM3 juta.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Ali Tamby ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memberitahu siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan bunuh dan Sesyen 385 kanun sama kerana melakukan pemerasan. – UTUSAN ONLINE










