‘Bijaknya’ orang Melayu berpolitik - Utusan Malaysia

‘Bijaknya’ orang Melayu berpolitik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA awal bulan lalu, dalam ruangan ini sebanyak dua kali penulis menyentuh mengenai kejutan politik akhir tahun. Kejutan itu melibatkan soal risik merisik, lompat melompat dan haram mengharam.

Dan dalam tempoh seminggu ini apa yang penulis dedahkan sudah menjadi kenyataan. Bermula di Sabah dan kini merebak ke semenanjung. Penulis percaya selepas ini lebih banyak ‘kejutan politik akhir tahun’ akan berlaku sebelum 2018 melabuhkan tirainya.

Tetapi apa yang merimaskan ialah semua pergelutan dan kejutan ini melibatkan pemimpin dan parti Melayu. Parti Melayu itu mahu menjatuhkan parti Melayu ini dan pemimpin Melayu itu mahu menyingkirkan pemimpin Melayu ini.

Malah ‘yang seronok’ dalam drama politik ini, dua pemimpin Melayu yang pernah bermusuh dan kemudiannya berkawan, kini bakal bermusuh kembali. Salah seorang mahu disingkirkan. Satu lagi adegan ialah bagaimana usaha memberi tekanan kepada pemimpin sendiri untuk berundur sehingga parti kini menjadi kacau bilau.

Begitulah ‘bijaknya’ orang Melayu berpolitik semata-mata kerana kuasa, walaupun hakikatnya kuasa mereka semakin lemah sehingga bukan sahaja bergantung kepada pihak lain untuk terus memerintah tetapi juga sudah sampai pada tahap terpaksa mengikut ‘telunjuk’ orang lain.
 Maka seronoklah pihak-pihak lain melihat ‘kebijaksanaan’ orang Melayu berpolitik. Mereka hanya menunggu masa untuk mengambil kesempatan dan sekali gus membolehkan mereka mendapat keuntungan jauh lebih besar berbanding sekarang.

Bagi mencapai cita-cita itu, mereka akan menganalisis kelompok Melayu manakah yang terdesak dan tertekan sehingga akan menyembah mereka bagi meminta pertolongan. Buat masa ini mereka biarkan sahaja pemimpin dan parti Melayu bertelagah sesama sendiri.

Walaupun ada yang cuba menunjukkan keprihatinan dengan menegaskan tindakan lompat-melompat adalah pengkhianatan kepada rakyat tetapi bagi penulis ia hanyalah kenyataan politik.

Selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), kata-kata ahli politik terutamanya yang menjadi pemerintah sudah tidak boleh dipercayai, kalau janji-janji kepada rakyat yang menentukan kemenangan boleh dipermainkan mentah-mentah, apatah lagi kalau ada tindakan yang boleh mengekal kuasa politik mereka.

Ternyata pemimpin dan parti politik masih belum insaf dengan kedudukan orang Melayu kini. Mereka tidak habis-habis berpolitik dan bertarung sesama sendiri seolah-olah tidak ada maruah politik. Yang menang khianati amanah rakyat tidak menunaikan janji dan yang kalah pula tidak boleh duduk diam kerana tidak biasa hilang kuasa.

Akhirnya siapa yang akan untung? Pernahkan kita mendengar parti-parti bukan Melayu lain lompat parti apabila kalah pilihan raya?

Pernahkah kita dengar mereka melakukan kejutan politik menjatuhkan musuh politik yang sebangsa dengan mereka? Pernahkan kita mendengar mereka mendesak supaya pemimpin mereka berundur diri?

Sudah tentu tidak! Ini kerana mereka jauh lebih bijak berpolitik daripada orang Melayu. Orang kita walaupun tahu kuasa politik tinggal ‘nyawa-nyawa ikan’ pun masih tidak mahu bersatu.

Masing-masing hanya mementingkan kuasa dan kedudukan, selepas itu memperalatkan nama rakyat demi untuk ‘menghalalkan matlamat’. Persoalannya sampai bilakah kita mahu melihat ketidakbijaksanaan orang Melayu berpolitik ini.

Tidak cukupkah dengan apa yang berlaku pada PRU-14? Tidak insaf lagikah apabila satu demi satu tindakan menggugat dan mencabar kesabaran orang Melayu terus dilakukan kerana mereka melihat kita semakin lemah serta tidak bersatu?

Malangnya adegan tidak bijak berpolitik ini ‘dilakonkan’ atau ‘digerakkan’ oleh ahli-ahli politik yang hakikatnya sepatutnya sudah lama bersara atau dilihat sudah tidak relevan dengan perkembangan semasa serta era yang berubah.

Sepatutnya politik orang Melayu dikuasai pelapis-pelapis muda tidak kira apa parti sekalipun yang mampu memulihkan maruah politik orang Melayu. Yang sudah terlalu lama, yang ada masalah dan yang cakap lain buat lain seharusnya berundur secara sukarela atau digantikan.

Kita tidak boleh membiarkan percaturan politik yang menentukan masa depan kuasa politik Melayu dilakukan oleh beberapa kerat pemimpin yang semakin tidak peduli kebimbangan orang Melayu. Bayangkan kita orang Melayu sedang menjerit akibat kemerosotan pendapatan, wakil rakyat mereka melompat parti.

Pemimpin-pemimpin Melayu lebih sibuk berunding sana sini untuk meraih kuasa, kembali berkuasa atau mempertahankan kuasa, ketika orang Melayu menangis kerana hak mereka semakin digugat, pemimpin Melayu lebih sibuk berunding dengan pihak lain untuk memastikan dia selamat!

Kasihan orang Melayu, mereka kini sedang menonton ‘kejutan politik akhir tahun’ yang menyerlahkan ketidakbijaksanaan orang Melayu berpolitik, yang akhirnya boleh menghancurkan orang Melayu itu sendiri. Bagi rakyat, mereka muak dan mual dengan adegan ‘kejutan politik akhir tahun’ ini.

Sepatutnya tumpuan diberikan kepada usaha membela nasib mereka kerana perebutan kuasa melalui PRU-14 sudah lama berlalu. Justeru kepada pemimpin-pemimpin Melayu tidak kira apapun parti, cukup-cukuplah berbalah dan berpolitik sesama sendiri.

Bersatulah demi kepentingan bangsa, agama dan negara. Jangan sampai mereka mewarisi perpecahan kepada generasi akan datang yang kesudahannya boleh meletakkan orang Melayu merempat di tanah air sendiri. Hentikanlah ‘kejutan politik’ yang merimaskan ini. Itupun kalau mereka masih ada naluri sebagai pemimpin Melayu yang sayangkan bangsanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×