KUALA LUMPUR 17 Dis.- Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah menubuhkan satu jawatankuasa untuk meneliti dan menapis permohonan keahlian daripada bekas-bekas pemimpin UMNO.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jawatankuasa tersebut dipengerusikan oleh timbalannya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
“Jawatankuasa ini akan meneliti terlebih dahulu setiap permohonan yang diterima untuk memastikan pemohon tidak terpalit dengan sebarang amalan rasuah, salah guna kuasa dan jenayah.
“Bersatu akan mendapatkan kerjasama daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk melaksanakan proses tapisan ini. Selain itu, penilaian dari sudut politik juga akan dilakukan secara dalaman,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan hari ini yang turut memaklumkan permohonan bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik juga tertakluk kepada proses tapisan yang akan dibuat oleh jawatankuasa tersebut.
“Adalah tidak adil di peringkat ini untuk mengandaikan bekas pemimpin UMNO yang menyerahkan borang permohonan keahlian telah diterima menjadi ahli secara automatik.
“Permohonan mereka hendaklah dinilai terlebih dahulu sebelum Majlis Pimpinan Tertinggi membuat sebarang keputusan mengenainya,” katanya.-UTUSAN ONLINE










