Bersatu akan kaji permohonan Rahim - Tun M - Utusan Malaysia

Bersatu akan kaji permohonan Rahim – Tun M

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan mempertimbangkan permohonan veteran UMNO yang juga bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik untuk menyertai parti itu.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, setiap permohonan akan ditapis terlebih dulu dan bukan terus diterima.

“Kita bukan boleh terima semua orang. Sesetengah orang kita kena kaji dulu semasa dia bebas.

“Sekiranya dia (Rahim) sesuai, kita boleh terima tetapi jika tidak, kita tidak akan terima,” katanya kepada pemberita di bangunan Kumpulan Industri Kerajaan untuk Teknologi Tinggi (MIGHT) di sini hari ini.

Mahathir yang juga Pengerusi Bersatu terdahulu mengikuti sesi dialog tertutup bersama 50 pemain industri teknologi tinggi selama hampir sejam yang dipengerusikan oleh Pengerusi MIGHT, Tan Sri Ahmad Tajuddin Ali.

Turut hadir Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof, Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Darell Leiking serta Ketua Pegawai Eksekutif Might, Datuk Dr. Mohd. Yusoff Sulaiman.

Kosmo! semalam melaporkan Rahim menyerahkan borang keahlian kepada Mohd. Redzuan yang juga Ahli Pimpinan Tertinggi Bersatu dalam satu majlis di Ayer Keroh, Melaka. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×