Beri imej baharu, bukan bubar BN! - Utusan Malaysia

Beri imej baharu, bukan bubar BN!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK kekalahan teruk MCA  dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dengan hanya memenangi satu kerusi Parlimen dan dua kerusi dewan undangan negeri (DUN), parti tersebut dilihat bergelut untuk bangkit semula.

Ramai mengharapkan parti yang berusia 69 tahun itu segera  bangkit dengan mengga­riskan hala tuju baharu selepas memilih satu-satunya wakil parti tersebut dalam Dewan Rakyat, Datuk Seri Wee Ka Siong sebagai Presiden MCA yang baharu  namun perkara itu tidak berlaku sebaliknya resolusi pembubaran BN yang menjadi tumpuan utama sehingga menenggelamkan usaha memulihkan MCA.

Sebagai veteran parti dan pernah menjawat jawatan penting dalam MCA, bekas Naib Presidennya, DATUK YAP PIAN HON mempunyai pandangan berbeza berhubung perkara ini dan mahu gabungan yang telah wujud 44 tahun lalu itu diberi nafas dan imej baharu demi kelangsungan politik negara.

Menurut bekas Ketua Pemuda MCA dan pernah ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) semasa Operasi Lalang pada 1987 itu, usaha menstruktur semula gabungan perlu diberikan tumpuan supaya dapat diterima semula oleh segenap masyarakat.

“Suka atau tidak kita kena hadapi kenyataan, BN perlu dijenamakan semula dan diberi imej baharu seperti yang dilakukan parti politik di Sabah dan Sarawak termasuk yang pernah menjadi parti komponen BN sebelum ini,” katanya kepada wartawan Mingguan Malaysia, SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH dan jurugambar MOHD. FARIZWAN HASBULLAH.

MINGGUAN: Selepas lebih enam bulan berakhirnya PRU-14 dan seminggu selepas berakhirnya Perhimpunan Agung MCA ke-65 punca utama pengundi Cina menolak BN masih belum dijelaskan. Pada pandangan Datuk apa punca utama kemerosotan prestasi MCA sehingga kalah teruk?

PIAN HON: Sejak beberapa tahun lalu parti MCA seperti hilang hala tuju, pemimpin-pemimpin parti tidak mengambil berat mengenai pendidikan politik dan penerapan nilai falsafah parti terhadap ahli-ahli MCA, apa yang mereka buat hanya mengadakan majlis jamuan dan keraian. Lebih memburukkan keadaan sejak lima tahun lalu pemimpin parti MCA lebih banyak menumpukan masa terhadap projek Satu Jalan Satu Jajaran (OBOR) yang digagaskan oleh China sehingga melupakan tujuan utama MCA ditubuhkan iaitu untuk menjadi parti politik.

Adakah isu OBOR ini serius sehingga menyebabkan prestasi MCA merosot?

PIAN HON: Bagi saya kesilapan paling teruk dibuat oleh MCA adalah mengutamakan OBOR, mereka selalu mengadakan lawatan ke China dan membuat seminar berkaitan OBOR, sepatutnya pemimpin MCA menganjurkan seminar politik dan mengajarkan falsafah parti kepada ahli, bukannya dengan menumpukan banyak masa terhadap OBOR sehingga menjadi senjata untuk musuh menyerang kita. Pemimpin parti kena ingat MCA adalah sebuah parti politik dan bukannya parti perniagaan untuk mencari kekayaan. Sepatutnya pemimpin MCA hanya menjadi pemudah cara dengan membantu mana-mana dewan perniagaan di negara ini untuk terlibat secara langsung dalam projek berskala besar itu.

Jika diamati kenyataan pemimpin-pemimpin MCA sebelum ini isu OBOR tidak pernah dibangkitkan sebagai punca kekalahan teruk MCA. Kenapa pimpinan MCA tidak mengakui kesilapan mereka?

PIAN HON: Pemimpin MCA perlu berani mengakui kesilapan mereka dan tidak hanya pandai menyalahkan orang lain di atas kekalahan teruk mereka dalam PRU14 lalu. Sebelum menunding jari kepada orang lain mereka perlu betulkan hal ehwal parti terlebih dahulu, dekati akar umbi dan mengembalikan kekuatan MCA untuk menghadapi situasi politik yang lebih mencabar di masa hadapan.

Selain isu ini, jenama BN juga dilihat tidak mendapat tempat dalam hati majoriti kaum Cina terutamanya dalam PRU-14 lalu. Adakah benar orang Cina telah menolak BN?

PIAN HON: Mengikut rekod terdapat kira-kira satu juta ahli MCA di seluruh negara malangnya yang menyokong MCA dan BN dalam PRU-14 hanya 10 peratus, mana lagi 90 peratus ahli MCA? Berdasarkan pertemuan saya dengan masyarakat Cina di peringkat bawah mereka sangat marah kerana pemimpin MCA tidak menyatakan pendirian mereka terutamanya dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Pada masa sama, parti politik lawan pula sangat cekap memanipulasikan keadaan dengan mengaitkan kenaikan setiap harga barang dengan isu 1MDB dan lain-lain sehingga menyebabkan BN ditolak di kawasan majoriti Parlimen dan DUN yang mempunyai banyak pengundi kaum Cina.

Berdasarkan penolakan beramai-ramai kaum Cina terhadap BN dalam pilihan raya lalu adakah perkara tersebut menjadi punca pemimpin MCA mencadangkan resolusi pembubaran BN?

PIAN HON: Suka atau tidak kita kena hadapi kenyataan, BN perlu dijenamakan semula dan diberi imej baharu seperti yang dilakukan parti politik di Sabah dan Sarawak termasuk yang pernah menjadi parti komponen BN sebelum ini. Sebagai kawan lama dan setia MCA, UMNO dan MIC perlu duduk semeja berbincang tanpa perlu bergaduh demi kepentingan politik negara. Dari sudut lain, resolusi untuk membubarkan BN juga sepatutnya tidak dibuat dengan cara tersebut kerana tindakan itu sudah semestinya tidak boleh diterima oleh UMNO kerana mencalarkan maruah mereka. Seharusnya semua parti komponen yang masih bersama dalam BN duduk semeja untuk berhadapan dengan situasi yang sangat mencabar kali ini.

Bagaimana dengan parti MCA sendiri adakah masih diterima oleh masyarakat Cina jika BN dibubarkan?

PIAN HON: Pemimpin MCA seharusnya memainkan peranan dengan mengkaji kelemahan parti terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan untuk keluar atau membubarkan BN. Parti MCA juga perlu yakinkan rakyat bahawa kelemahan yang wujud sebelum ini boleh ditangani. Sebagai Presiden MCA yang baharu, Datuk Seri Wee Ka Siong perlu menggariskan hala tuju parti dan memikirkan kaedah untuk memulihkan imej parti. Di kawasan saya sendiri di Serdang, dahulu kawasan tersebut adalah kubu kuat BN dan kita hanya kalah baru-baru ini sahaja jadi masih ada peluang untuk memenangi semula.

Selain itu, saya juga kerap menerima laporan bahawa orang ramai sangat sukar untuk berjumpa dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau Ahli Parlimen di sini ketika mereka menghadapi masalah. Sehubungan itu, pemimpin MCA perlu terus mendekati masyarakat dan menjalankan kerja-kerja kebajikan dengan membantu orang yang memerlukan. Selain itu, sejak beberapa bulan lalu juga banyak masyarakat Cina yang dahulu sebelum PRU-14 selalu menyalahkan kerajaan kini sudah mula diam kerana tidak mendapat sebarang manfaat sejak BN dijatuhkan. Berikutan itu, gerak kerja perlu dilakukan dari sekarang kerana tidak mustahil pilihan raya umum akan dilaksanakan dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi.

Jika kerjasama antara MCA dan UMNO masih boleh diselamatkan, apakah kaedah terbaik untuk merealisasikannya?

PIAN HON: Untuk memerintah semula, BN perlu dijenamakan semula. BN tidak hanya boleh mengharapkan undi Melayu, undi kaum lain juga penting kerana berdasarkan realiti pecahan penduduk semasa jumlah kaum Melayu dan bukan Melayu hampir seimbang. Pada masa sama, gabungan baharu itu juga perlu menjalinkan kerjasama erat dengan gabungan parti di Sabah dan Sarawak kerana undi dari negeri-negeri tersebut sangat penting dalam membentuk sebuah kerajaan kukuh. Bagi merealisasikan gabungan baharu yang lebih segar maka semua pemimpin parti-parti tersebut perlu duduk semeja untuk membincangkan mengenai falsafah dan hala tuju baharu bagi membentuk sebuah kerajaan baharu selepas ini.

Sebagai orang lama dalam parti apakah mesej Datuk kepada semua parti komponen dalam BN?

PIAN HON: Selain pandangan keras daripada beberapa pemimpin parti komponen BN sejak kebelakangan ini sebenarnya masih terdapat pemimpin yang rasional. Jika tidak bagaimana MCA dan UMNO boleh bersama sejak 60 tahun lalu? Kita perlu akui dalam UMNO, MCA dan MIC pasti ada ‘pelampau’ dan perkara tersebut tidak boleh dielakkan, pemimpin utama BN perlu mencontohi kepimpinan bekas Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mempunyai polisi dan pendirian tegas terhadap sesuatu isu melibatkan BN dengan berbincang dan mencari kata sepakat terhadap sesuatu isu berbangkit.

Amalan yang dibuat ketika BN memerintah dahulu dengan melantik Perdana Menteri dalam kalangan orang Melayu perlu diteruskan demi kepentingan negara di masa hadapan. Sebagai rakyat Malaysia juga semua kaum sangat berbangga dengan negara ini yang tidak sama seperti beberapa negara lain yang sering bergaduh dan berperang. Pada masa sama, kekecohan yang berlaku di kuil Sri Maha Mariamman di Seafield, USJ baru-baru ini juga boleh diambil sebagai pengajaran kepada semua pihak bahawa pergaduhan bukan penyelesaian kepada masalah. Malaysia, negara yang sangat unik dan tiada salahnya kita bertolak ansur dalam banyak perkara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN