KUALA LUMPUR 17 Dis. – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan melaksanakan kerja-kerja meroboh sebuah bengkel yang beroperasi di atas tanah milik kerajaan di Taman Tasik Danau Kota, Setapak di sini, esok.
Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad berkata, tindakan meroboh premis itu diambil berikutan tapak seluas kira-kira 0.1 hektar yang turut menempatkan pusat jualan kereta tersebut menghalang laluan orang ramai untuk masuk beriadah di taman tasik di situ.
Katanya, pihaknya tiada jalan lain melainkan terpaksa mengambil tindakan tegas sedemikian kerana pemilik bersikap degil apabila gagal mengosongkan premisnya selepas berakhir tempoh pemindahan yang dilanjutkan selain menolak tawaran DBKL untuk berpindah ke lokasi lain.
“Premis bengkel ini dipercayai beroperasi selama lebih 12 tahun tanpa memberikan sebarang bayaran kepada kerajaan.
“Kawasan ini untuk kegunaan orang ramai dan mereka perlu mengosongkannya kerana DBKL telah memberikan notis sebanyak dua kali dalam tahun ini namun tidak diendahkan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Prihatin dengan permasalahan itu, Khalid berkata, beliau telah turun padang melawat tapak berkenaan dan bertemu dengan pihak di kawasan berkenaan untuk mendapatkan kerjasama selain menawarkan kaedah penyelesaian yang dirasakan sesuai.
“Bagaimanapun, mereka telah mengambil sikap yang keras dan saya khuatir mereka akan menggunakan isu kaum kononnya orang Melayu ditindas oleh Melayu.
“Saya harap masyarakat tidak mudah terpedaya dan dikelirukan dengan isu-isu kaum yang mungkin diguna pakai oleh mereka kerana kami telah memberikan layanan yang cukup istimewa dalam usaha mengarahkan untuk berpindah,” katanya.
Jelasnya, kerja-kerja perobohan itu diharap dapat dilaksanakan dengan baik menerusi kerjasama orang ramai termasuk pemilik dan pekerja premis berkenaan.
“Tidak timbul isu DBKL, Pejabat Tanah dan Galian (PTG) atau mana-mana pihak menindas pihak yang lain kerana mereka telah menikmati keadaan di mana mereka dibenarkan berada di atas tanah itu selama lebih 12 tahun.”
“Saya harap mereka dapat memberikan kerjasama sepenuhnya demi kepentingan orang ramai,” katanya.










