HECTOR BELLERIN antara pemain pertahanan terbaik dalam Liga Perdana Inggeris dan merupakan individu yang memiliki larian pantas hingga ada yang menyamakannya dengan legenda olahraga dunia, Usain Bolt.
Dia yang mula menyertai Arsenal pada usia 16 tahun berdepan masalah kesunyian dan perkara itu membuatkan dia melibatkan diri dengan permainan video Call of Duty bersama barisan pemain bawah 18 tahun (b-18) The Gunners pada ketika itu.
Difahamkan, dia menghabiskan masa sekitar 30 jam seminggu untuk bermain permainan video itu.
“Semuanya bermula ketika saya berpindah ke London. Tidak banyak perkara yang boleh saya lakukan ketika itu kerana saya tidak biasa dengan bandar London dan keadaan menjadi gelap lebih awal.
“Sebahagian daripada rakan-rakan saya di dalam skuad b-18 gemar bermain Call of Duty dan mereka berkata, permainan itu sesuai untuk saya.
“Sejak itu saya mula bermain, untuk tahun pertama dan kedua, saya bermain hampir setiap hari, saya menjadi ketagih. Ia adalah cara saya untuk melarikan diri daripada kesunyian selepas tamat latihan. Sekarang ini kehidupan saya semakin sibuk dan saya tidak banyak masa untuk bermain Call of Duty tetapi apabila ada masa saya akan bermain secara dalam talian bersama rakan-rakan.
“Permainan ini membantu saya mengurangkan tekanan. Saya tidak banyak permainan lain yang saya gemari kerana saya tidak banyak masa,” katanya.
Pemain Sepanyol itu juga sedang melanjutkan pengajian bersama Universiti Pennsylvania di dalam bidang pemasaran dan mengikuti kelas selain mengambil peperiksaan secara dalam talian.
Sama seperti pemain lain, Bellerin juga menjadi mangsa kecaman daripada penyokong di kota London dengan ada di antara mereka menggelarnya sebagai seorang yang meminati kaum sejenis kerana dia berambut panjang, malah pemain kelahiran Barcelona itu juga sering dibandingkan dengan penyanyi pop popular Britain, Dua Lipa.
“Mereka sangat kejam. Kebanyakan penghinaan berlaku secara dalam talian dan ada kalanya di stadium. Mereka mengecam saya kerana berambut panjang.
“Mereka ini menghamburkan kejian homofobik. Saya belajar untuk tidak mengendahkan perkara itu tetapi kadang-kala ia menjejaskan keyakinan diri,” katanya.
Dalam usaha untuk mengatasi kesunyiannya dan masalah di kota London, Bellerin juga menjalinkan hubungan istimewa bersama model antarabangsa, Shree Patel.
Patel yang memiliki darah kacukan India merupakan model untuk jenama terkemuka dunia termasuk Calvin Klien dan Ellesse selain memiliki ijazah dalam bidang psikologi dan jenayah.
Mereka dikatakan mula menjalinkan hubungan beberapa bulan selepas Bellerin tiba di London dan dia merupakan individu yang sentiasa memberikan sokongan kepada pemain itu semasa usia remajanya.
Kedua-dua mereka sering menghabiskan masa bersama termasuk menghadiri pertunjukan fesyen di London.










