KUALA LUMPUR 17 Dis. – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) melancarkan sebuah rancangan televisyen bertajuk Bangkit #Perkesoprihatin di Wow KL, Pusat Pelancongan Malaysia di sini.
Timbalan Ketua Eksekutif Korporat Perkeso, Datin Azlaily Abd. Rahman berkata, rancangan bersiri 13 episod itu mengisahkan kejayaan peserta Program Kembali Bekerja (RTW) selepas insiden kemalangan dan penyakit.
“Sehingga November tahun ini, seramai 21, 858 pencarum di bawah program RTW telah berjaya dipulihkan dan kembali bekerja melalui pengurusan kes yang efektif.
“Rancangan yang bakal bersiaran setiap Jumaat, pukul 9 malam di saluran Astro Ria dan Astro Ria HD ini bakal memaparkan keberkesanan program tersebut,” katanya di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan (SIP), Datuk Mohd. Sahar Darusman, Ketua Eksekutif Mache All Star United Sdn. Bhd, Arisz Abdul Rahman dan Ketua Bahagian Perkhidmatan Pekerjaan Perkeso, Roshaimi Mat Rosely.
Menurut beliau, pencarum yang dibantu itu telah membuktikan bahawa mereka masih berupaya, kompetitif dan mampu menyumbang sesuatu kepada masyarakat. – UTUSAN ONLINE










