SEREMBAN 18 Dis. – Nilainya mungkin kecil bagi segelintir keluarga namun, amat besar maknanya kepada ibu bapa penerima bantuan keperluan persekolahan melalui program Back To School anjuran Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Untuk tahun keenam berturut-turut, syarikat utiliti kebangsaan itu meneruskan program tersebut yang merupakan sebahagian agenda besar syarikat berkenaan dalam bidang pendidikan, terutamanya untuk golongan kurang berkemampuan.
Bagi keluarga penerima, nilai kira-kira RM200 bagi setiap murid membantu mengurangkan kos persediaan anak-anak untuk ke sekolah pada sesi baharu 2019 yang bermula tidak lama lagi.
Seorang pekerja sambilan, K. Logeswary, 47, berkata, anaknya seramai empat orang berusia antara lima hingga 14 tahun kini bergantung kepadanya selepas kematian suami pada Februari lalu.
“Ini kali pertama saya terima bantuan daripada TNB dan sangat membantu mengurangkan kos persediaan anak ke sekolah.
“Setidak-tidaknya, kos untuk seorang anak telah dapat ditampung melalui bantuan ini,” katanya ketika ditemui selepas program tersebut peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat, di sini baru-baru ini.
Seorang pesara guru, Zaharah Jamaluddin, 58, memuji usaha TNB itu yang peka dengan keperluan masyarakat terutamanya mereka berpendapatan rendah.
“Khidmat sosial TNB ini amat bermakna kepada para penerima yang dipilih daripada kalangan orang miskin, berpendapatan rendah dan anak-anak asnaf penerima zakat,” katanya.
Bagi pemandu perkhidmatan e-hailing, Mohd. Rasidan Mohd., 43, berkata, lebih RM700 perlu diperuntukkan untuk persediaan ke sekolah kepada tiga anaknya berusia antara enam hingga 13 tahun.
“Nilai ini amat bermakna dan terima kasih kepada TNB kerana prihatin dalam usaha mereka dan saya sekeluarga berharap program seperti itu diteruskan pada masa depan,” ujarnya.










