JAGUH berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang sekali lagi membuktikan dirinya mampu menjadi penyumbang pingat emas pada Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun apabila merangkul pingat perak dalam acara keirin pada Kejohanan Berbasikal Trek Piala Dunia siri keempat di London, England semalam.
Ia adalah pingat kedua berturut-turut diraih pelumba berusia 30 tahun itu selepas meraih gangsa pada perlumbaan siri ketiga di Berlin, Jerman awal Disember lalu.
Mengulas aksinya itu, pemenang anugerah Olimpian Kebangsaan 2018 itu mengakui kejayaan skuad Harimau Malaya mara ke final Kejuaraan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) Suzuki 2018 telah memberi semangat luar biasa kepadanya untuk menghadiahkan pingat kepada negara.
“Sangat luar biasa kerana perlumbaan ini sangat laju tambahan pula dengan kehadiran pelumba berkelas dunia pada saingan akhir. Bagaimanapun, saya sekali lagi berjaya mencatatkan podium di kedudukan kedua.
“Mengambil semangat pasukan Harimau Malaya (bola sepak negara) yang beraksi pada Piala AFF Suzuki, saya berjaya mendapat pingat perak dalam acara keirin yang disertai oleh peserta 47 negara.
“Saya gembira kerana pencapai-an ini merupakan satu peningkatan selepas mendapat pingat gangsa di Berlin, Jerman. Sesungguhnya ini adalah kayu pengukur untuk membuktikan saya berada di landasan betul dalam misi untuk melayakkan diri pada Sukan Olimpik nanti,” katanya.
Perlumbaan Berbasikal Trek Piala Dunia masih berbaki dua perlumbaan masing-masing di Cambridge, New Zealand bermula 18 hingga 20 Januari depan dan Hong Kong, China lima hari kemudian.










