PULAU PINANG 20 Dis. – Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) negeri mengingatkan Timbalan Ketua Menteri II, Dr. P. Ramasamy supaya tidak ‘cemas’ dengan tindakan Armada Nasional menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Ketuanya, Shameer Sulaiman berkata, pihaknya yakin tindakan Armada Nasional yang diketuai Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu adalah sangat wajar dan mengangkat suara akar umbi kepada kepimpinan tertinggi melalui saluran serta cara yang betul.
Dalam masa sama, beliau menyifatkan kenyataan Ramasamy yang menyelar dan mempertikai tindakan Armada Nasional yang mana seolah-olah mempertikai kebijaksanaan Dr. Mahathir sebagai tidak wajar sama sekali.
Tambahnya, sejak penubuhan parti hingga memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Armada di seluruh peringkat tidak pernah mempersoalkan kebijaksanaan Dr. Mahathir yang mengetuai Pakatan Harapan (PH) dalam misi menyelamat dan memulihkan negara.
“Bagaimanapun, Ramasamy perlu sedar kami mengambil perhatian apabila segelintir pemimpin dari parti Ramasamy mengeluarkan kenyataan media mempersoal dan mempertikaikan tindakan, kebijaksaan dan keputusan yang dilakukan Dr. Mahathir dalam beberapa perkara.
“Namun, kami tidak “cemas” kerana kami berpegang kepada prinsip kebebasan bersuara dalam era Malaysia Baharu ini,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Awal hari ini, Ramasamy menyelar tindakan Armada menyerahkan memorandum kepada Dr. Mahathir bagi mendesak supaya Waytha Moorthy berundur sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Menurut Ramasamy yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, tindakan Armada Bersatu itu ‘menghina’ kebijaksanaan Dr. Mahathir dalam menentukan barisan Kabinetnya serta mempersoal keputusan Pengerusi sendiri.
Dalam pada itu, Shameer berkata, Armada negeri akan terus berdiri teguh dan mempertahankan tindakan yang dibuat oleh kepimpinan Armada Nasional serta menghormati serta memberikan kepercayaan penuh kepada kebijaksanaan Dr. Mahathir. – UTUSAN ONLINE










