Apa pilihan MCA ada? - Utusan Malaysia

Apa pilihan MCA ada?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang menyaksikan kejatuhan kerajaan Barisan Nasional (BN), bilangan komponen parti BN berkurang secara drastik daripada 13 kepada tiga ekoran tindakan meninggalkan BN oleh kebanyakan komponen parti, termasuk parti politik berasaskan etnik Cina seperti Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Sarawak United Peoples’ Party (SUPP) dan Liberal Democratic Party (LDP).

Walaupun parti etnik Cina utama dalam BN, iaitu MCA tidak mengikut jejak, namun terdapat juga suara-suara terutamanya dalam kalangan akar umbi yang lantang mendesak kepimpinan parti untuk membawa MCA keluar daripada BN. Ini seterusnya menjadi satu isu yang hangat dibahaskan dalam kempen pemilihan parti oleh dua calon presiden, iaitu antara Datuk Wee Ka Siong yang tidak menyatakan pendirian secara jelas sebaliknya mencadangkan supaya keputusan untuk terus bersama BN atau keluar BN perlu ditentukan melalui pengundian perwakilan parti, dengan Gan Ping Sieu yang bersikap lebih radikal mahukan MCA menarik diri dengan serta merta.

Kemenangan Ka Siong sebagai Presiden baharu bagaimanapun tidak dapat meredakan isu ini apabila usul untuk memberi mandat kepada Jawatankuasa Pusat MCA bagi memulakan proses pembubaran BN dan pembentukan gabungan politik baharu diluluskan sebulat suara oleh perwakilan dalam Perhimpunan Agung MCA pada awal bulan ini. Usul itu bagaimanapun mengundang kritikan dan rasa tidak puas hati dalam kalangan pemimpin UMNO yang mempersoalkan hak dan kewajaran MCA dalam menuntut pembubaran BN dan pembentukan perikatan politik baharu.

Sesungguhnya MCA menghadapi dilema dalam menyusun semula hala tuju dan strategi politiknya pada era pascapilihan raya umum 2018. Sebagai parti politik yang mewakili kepentingan etnik Cina, MCA rata-rata dianggap oleh masyarakat Cina sebagai sebuah parti politik yang tidak berkesan dalam memperjuangkan kepentingan kaum itu disebabkan oleh kedudukannya yang lebih rendah (inferior) berbanding UMNO dalam BN.

Sekiranya MCA bertindak untuk keluar BN, apa yang pasti parti ini akan memenangi sorak dan tepukan daripada masyarakat Cina atas ‘keberaniannya’ untuk bercerai dengan UMNO. Namun, sorakan tersebut tidak semestinya dapat diterjemahkan kepada sokongan elektoral untuk MCA pada pilihan raya memandangkan pesaing utama MCA, iaitu DAP bukan sahaja berjaya bertapak kukuh dalam masyarakat Cina sebagai parti politik yang lebih berkesan dalam mempertahan kepentingan Cina, tetapi juga memiliki buat kali pertama kelebihan sebagai komponen parti pemerintah di peringkat Persekutuan yang berkuasa dan berpengaruh dalam proses pengagihan sumber ekonomi negara.

Pada masa sama, MCA juga sedar akan hadnya sebagai sebuah parti politik yang mewakili etnik minoriti, iaitu, dengan kata lain, adalah mustahil bagi MCA untuk kembali menjadi parti pemerintah tanpa bekerjasama dengan parti politik lain, terutamanya parti yang berasaskan kaum Melayu. Namun, pilihan parti politik kaum Melayu yang berpotensi sebagai sekutu politiknya adalah sangat terhad untuk MCA.

Adalah tidak realistik bagi MCA untuk mempertimbangkan kemungkinan menyertai Pakatan Harapan (PH) memandangkan percubaan sedemikian pasti mendapat tentangan DAP. Boleh dikatakan pintu PH secara praktis adalah tertutup untuk MCA. Untuk memastikan kelangsungan hidup politik, MCA sebenarnya tidak mempunyai banyak pilihan sekurang-kurangnya dalam jangka masa pendek ini melainkan terus bekerjasama dengan UMNO.

Dalam pada itu, perlu diingatkan bahawa usul yang dikemukakan MCA adalah untuk ‘membubarkan BN dan membentuk perikatan politik baharu’, dan bukannya untuk `keluar daripada BN’. Ini jelas menunjukkan MCA masih menaruh harapan tinggi untuk terus bekerjasama dengan UMNO, tetapi bukan di bawah kerangka lama BN yang kehilangan popularitinya.

Barangkali hasrat MCA adalah untuk melakukan penjenamaan semula ke atas BN melalui pembentukan perikatan politik baharu yang memperlihatkan kesamarataan kedudukan antara parti-parti komponen. Bagaimanapun, sejauh mana kemampuan MCA yang hanya memenangi satu kerusi parlimen di kawasan majoriti Melayu untuk membentuk perikatan politik baharu bersama UMNO mengikut acuan yang diilhamkan oleh MCA adalah satu persoalan yang amat jelas jawapannya.

Seperkara lagi, perkembangan senario politik pascapilihan raya umum 2018 mendorong kerjasama rapat antara UMNO dengan Pas yang kemungkinan akan diinstitusikan pada masa depan melalui gabungan politik secara formal, atau setidak-tidaknya melalui kerjasama elektoral secara rapat untuk menghadapi cabaran daripada parti Melayu dalam PH pada pilihan raya umum seterusnya.

Seandainya keadaan ini berlaku, adalah menarik untuk diperhatikan sama ada MCA sanggup mengetepikan perbezaan ideologi politiknya dengan Pas dan menerima Pas sebagai sekutu politik baharu bersama UMNO. MCA tidak kelihatan menolak kemungkinan sedemikian sepertimana ditunjukkan dalam kesudiannya berkongsi pentas politik dengan Pas semasa kempen Pilihan Raya Kecil Balakong, September lalu.

Jika dilihat dari sudut politik komunal yang berasaskan faktor etnisiti yang masih nyata mencorakkan landskap politik negara, MCA seharusnya bersikap terbuka dalam menjalinkan kerjasama politik dengan mana-mana parti pembangkang Melayu termasuklah Pas atas semangat solidariti parti pembangkang dengan memberikan tumpuan terhadap nilai-nilai politik yang berkongsi sama.

Pada masa sama, usul MCA untuk membubarkan BN dan membentuk perikatan baharu tidak seharusnya dilihat oleh parti pembangkang Melayu, terutamanya UMNO sebagai tindakan bertentangan dengan semangat kerjasama BN, sebaliknya harus dilihat sebagai strategi penyusunan semula mengembalikan kegemilangan BN di bawah kerangka gabungan parti politik yang baharu, selaras dengan perkembangan politik terkini.

PENULIS ialah Pensyarah Sains Politik Universiti Sains Malaysia (USM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN