Anwar PM ke-8: PKR yakin Dr. Mahathir tunai janji - Utusan Malaysia

Anwar PM ke-8: PKR yakin Dr. Mahathir tunai janji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI 17 Dis. – PKR negeri yakin Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad akan mengotakan janjinya untuk memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim mengantikan beliau dalam tempoh dua tahun.

Sehubungan itu, Pengerusi PKR negeri,

Datuk Johari Abdul berkata, tidak menjadi masalah sekiranya terdapat pemimpin atau Ahli Parlimen UMNO menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Beliau berkata, pihaknya memegang janji Dr. Mahathir dan juga perjanjian di dalam Pakatan Harapan sebelum pilihan raya lalu iaitu Anwar bakal dipilih sebagai Perdana Menteri kelapan.

“Antara perkara yang termaktub di dalam perjanjian Pakatan Harapan sebelum ini adalah menerima Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri ketujuh selama dua tahun dan seterusnya Anwar sebagai Perdana Menteri kelapan.

“Alhamdulilah kita menang di dalam pilihan raya dan PKR memperolehi kerusi Parlimen paling banyak. Kita masih memegang janji bahawa Dr. Mahathir tetap Perdana Menteri dan dalam masa sama, Dr. Mahathir juga perlu mengotakan janjinya,” katanya di sini, hari ini.

Sebelum ini, timbul desas-desus bahawa tindakan beberapa pemimpin UMNO meninggalkan parti tersebut untuk menyertai Bersatu sebagai usaha untuk menguatkan sokongan terhadap Dr. Mahathir sekali gus menidakkan peluang Anwar menjadi Perdana Menteri.

Bagaimanapun Anwar dalam satu kenyataan semalam mendakwa bahawa terdapat pihak cuba mengganggu hubungan baiknya dengan Dr. Mahathir.

Presiden PKR itu dilaporkan berkata, cubaan tersebut dilakukan oleh pihak tertentu dengan mewujudkan pelbagai tanggapan dan andaian sehingga menimbulkan persepsi tidak baik diantara mereka berdua.

Dalam perkembangan berkaitan, Johari berkata, tindakan pemimpin UMNO keluar parti dan berkemungkinan menyertai Pakatan Harapan bukan lesen kepada mereka untuk lari daripada dikenakan tindakan undang-undang sekiranya mempunyai kesalahan.

“Kalau pemimpin terbabit korup, curi walaupun mereka masuk Pakatan Harapan ia tidak akan terlepas daripada tindakan.Jangan ingat masuk Pakatan Harapan segala dosa lampau itu terbasuh,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×