KUALA LUMPUR – Seorang anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dari Balai Polis Travers di sini maut manakala seorang lagi parah dalam satu kemalangan di Jalan Semantan di sini awal pagi tadi.
Seorang lagi anggota pula tidak mengalami sebarang kecederaan selepas dilanggar oleh sebuah kereta.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 3.50 pagi itu, tiga anggota tersebut sedang membuat pemeriksaan terhadap sebuah kereta di jalan berkenaan apabila dilanggar sebuah kereta yang tiba-tiba turun dari cerun berhampiran.
“Kereta tersebut terbabas lalu melanggar dua anggota, Konstabel Mohd. Zamri Sinsian, 26, dan Konstabel Osman Ibrahim, 23.
“Mohd. Zamri meninggal dunia di tempat kejadian manakala Osman cedera parah dan dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zulkefly menambah, pemandu kereta tersebut iaitu seorang lelaki warga tempatan berusia 44 tahun telah ditahan.
“Dia dibawa ke pejabat Trafik Kuala Lumpur untuk menjalani ujian alkohol.
“Mayat Mohd. Zamri dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk tujuan bedah siasat,” ujarnya. – K! ONLINE










