PULAU PINANG 17 Dis. – Seorang anggota polis Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut maut setelah dipercayai terjatuh dari sebuah hotel di Pulau Tikus hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.45 pagi itu, mayat mangsa, Sofian Shahari, 47, dijumpai oleh seorang pekerja hotel dalam keadaan tertiarap di atas kawasan parkir kereta di depan hotel berkenaan.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mangsa mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan serta kepala.
Katanya, menerusi siasatan awal, pada pukul 12.30 tengah malam mangsa didapati telah hadir ke sebuah pusat karaoke di Pulau Tikus untuk menyambut hari jadi seorang anggota polis dari Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) negeri.
“Terdapat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan tempat kejadian yang menunjukkan mangsa telah jatuh pada pukul 4.23 pagi.
“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati beg dan selipar sebelah kiri mangsa berada di tingkat dua di hadapan sebuah klinik pergigian, manakala di tingkat empat terdapat kesan koyakan langsir di kaki lima pusat hiburan berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.- UTUSAN ONLINE










