LONDON 20 Dis. – Dele Alli menjadi mangsa balingan botol plastik di Stadium Emirates dan insiden itu menunjukkan sisi buruk perlawanan derby di antara Arsenal dan Tottenham, kata Mauricio Pochettino.
Perancang Spurs, Alli terkena balingan botol di kepala pada minit ke-73 pada suku akhir Piala Liga dan dia kemudian memberikan reaksi 2-0 kepada penyokong Arsenal.
Insiden di Emirates, awal pagi ini (waktu Malaysia) berpunca daripada kejadian yang berlaku 2 Disember lalu ketika Pierre-Emerick Aubameyang menjaringkan penalti sewaktu Arsenal menang 4-2 ke atas Spurs dan penyerang berkenaan kemudian dibaling kulit pisang oleh penyokong Spurs.
Alli membantu Son Heung Min mencipta jaringan pertama sebelum melengkapkan kemenangan 2-0 Spurs menerusi sepakan cantik mengatasi Petr Cech pada minit ke-59.
Pochettino berasakan insiden melibatkan Alli itu adalah aspek negatif dalam kalangan penyokong kelab lawan.
“Nasib baik ia bukan satu isu besar. Kami ke sini untuk bermain aksi derby, kami membenci antara satu sama lain dengan cara baik tetapi perkara ini adalah sisi buruk dengan matlamat mencederakan lawan.
“Saya tidak boleh membuat ulasan secara menyeluruh kerana hanya seorang individu bodoh melakukan kesilapan,” kata Pochettino.
Pengendali Arsenal, Unai Emery mendakwa dia tidak melihat insiden itu tetapi menyatakan perbuatan tersebut tidak boleh diterima.
“Saya tidak nampak. Saya rasakan suasana di stadium sangat baik. Jika ada situasi seperti itu berlaku, ia bukan sikap yang baik,” katanya.
Tottenham akan bertemu Chelsea dalam separuh akhir Piala Liga, manakala, Manchester City bertemu Burton Albion. – AGENSI










