INSIDEN kebakaran pada 23 November lalu telah memusnahkan hampir keseluruhan rumah kebajikan Raudhatul Al-Faeez yang terletak di Batu 9 1/2, Gombak, Selangor.
Dalam sekelip mata, seramai 30 orang penghuninya yang terdiri daripada anak-anak yatim dan asnaf hilang tempat berlindung.
Mujur ketika kejadian, sebahagian penghuni berada di masjid bagi mengerjakan solat Jumaat manakala sebahagian lain sudah berada di kampung halaman masing-masing kerana cuti sekolah.
Mereka kini terpaksa menumpang di sebuah rumah di Keramat sementara menunggu rumah yang musnah itu dibina semula.
Pertubuhan Program Ceria Al-I’tisam (Al-I’tisam) baru-baru ini tampil menghulurkan bantuan bagi meringankan beban pihak pengurusan Raudhatul Al-Faeez di samping menceriakan penghuninya yang terkesan dengan kejadian tersebut.
Menerusi program Al-I’tisam Ceria Malaysia, kesemua 30 orang penghuni Raudhatul Al-Faeez dibawa ke pasar raya Mydin Subang Jaya, Selangor bagi membeli pakaian sekolah dan harian.
Pengurus projek itu, Muhammad Rafiq Ravi Abdullah berkata, pihaknya memutuskan untuk memberi sumbangan dalam bentuk tersebut selepas berbincang dengan pihak pengurusannya.
Ini kerana, dalam kebakaran tersebut, hampir kesemua pakaian mereka musnah terutama pakaian sekolah di saat musim persekolahan bakal menjelang tidak lama lagi.
“Kami juga meraikan anak-anak ini dengan membelikan alatan tulis serta keperluan lain.
“Insya-Allah, setelah rumah Raudhatul Al-Faeez dibaik pulih, Al-I’tisam akan menyalurkan pula bantuan barangan dapur melalui projek Al-I’tisam Ceria Food Bank,” katanya.
Menurut Muhammad Rafiq Ravi, dana yang dibelanjakan merupakan sumbangan daripada orang ramai serta penyumbang tetap Al-I’tisam.
Hasil kutipan sumbangan yang dilancarkan melalui media sosial Al-I’tisam, pertubuhan itu berjaya mengumpul dana sebanyak RM14,504 dalam tempoh seminggu.
“Seramai 30 orang sukarelawan terlibat dalam program yang berlangsung selama kira-kira lima jam ini. Mereka membantu anak-anak Raudhatul Al-Faeez memilih keperluan yang sesuai.
“Kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua sukarelawan yang sanggup mengorbankan tenaga dan masa bagi meraikan anak-anak tersebut,” ujarya.
Ternyata program membeli keperluan sekolah dan harian itu berjaya mengembalikan keceriaan dalam kalangan penghuni-penghuni Raudhatul Al-Faeez. Sepanjang program itu berlangsung, senyuman tidak lekang dari wajah mereka.
Selain Raudhatul Al-Faeez, Al-I’tisam sebelum ini turut menghulurkan bantuan kepada keluarga mangsa Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiah yang terbakar pada tahun lalu.










