GUA MUSANG – Peminat sukan lasak dan mana-mana pihak yang merancang mengadakan program di perkampungan Orang Asli di daerah dinasihatkan supaya menangguhkan aktiviti itu sepanjang musim tengkujuh ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, aktiviti itu tidak sesuai diadakan ketika ini kerana faktor keselamatan selain menambah kerosakan jalan balak di kebanyakan tempat di perkampungan Orang Asli.
Katanya, pihaknya menerima aduan mengenai aktiviti sukan lasak pacuan empat roda (4X4) yang merosakkan jalan di kawasan hutan terutamanya laluan perkampungan Orang Asli.
“Penduduk Orang Asli mengadu kumpulan 4×4 ini sering masuk ke kawasan hutan untuk melawat kawasan kampung mereka namun dalam masa sama, menyebabkan keadaan jalan menjadi semakin teruk.
“Program itu tidak salah, namun perlu lihat keadaan kawasan yang dimasuki itu termasuklah faktor cuaca,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, seorang penduduk Orang Asli, Along Alang, 45, berkata, ketika ini penduduk Orang Asli di pedalaman menderita apabila tidak dapat keluar ke bandar ke kebun dan hutan untuk mengutip hasil kerana jalan rosak.
“Kita berharap pihak berkenaan dapat mengira kebajikan kami penduduk di kawasan pedalaman.
“Kumpulan 4×4 pastinya seronok dengan cuaca hujan dan cabaran laluan becak, namun memberi masalah kepada penduduk Orang Asli,” katanya.
Alias Anjang, 35, pula berharap pihak berkuasa dapat mengetatkan kawalan kepada pihak yang ingin mengadakan program di kawasan perkampungan Orang Asli ketika musim tengkujuh.
Katanya, keadaan hujan itu menyebabkan kenderaan mudah terkandas di laluan jalan berlumpur dengan dihalang pula hakisan bukit yang semakin teruk sejak musim hujan sebulan lalu.
“Masyarakat Orang Asli yang sengsara jika berlaku kes kecemasan seperti sakit atau wanita mahu bersalin kerana tidak dapat keluar melalui jalan darat,” katanya. – K! ONLINE










