HARAPAN pasukan Kedah untuk mengekalkan khidmat pemain muda berbakat, Akhyar Rashid tidak kesampaian selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menolak rayuan yang dikemukakan pada awal bulan ini.
Sebagai rekod, Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) telah merayu kepada Jawatankuasa Status FAM berkenaan penamatan kontrak Akhyar yang menebus kontraknya sendiri kerana mahu berhijrah menyertai pasukan lain musim depan.
Bagaimanapun, FAM telah membuat keputusan untuk menolak rayuan tersebut selain nilai tebus kontrak sebanyak RM210,000 serta pampasan sebanyak RM75,000 juga dikekalkan.
“Mengikut keputusan Jawatankuasa Status FAM yang telah bermesyuarat pada 3 dan 4 Disember 2018, tuntutan Akhyar untuk penamatan kontrak pemain melalui tebus kontrak telah diterima.
“Justeru, Akhyar dibenarkan untuk menebus kontraknya bersama KFA dengan bayaran nilai tebus kontrak sebanyak RM210,000. Sebagai bayaran tambahan kepada KFA, mana-mana pasukan yang menandatangani kontrak bersamanya perlu membayar sebanyak RM75,000 kepada KFA untuk nilai pampasan latihan.
“Untuk makluman, nilai pampasan yang ditetapkan di atas ini bukanlah diletak sewenang-wenangnya oleh FAM tetapi ia berdasarkan artikel-artikel yang terkandung dalam Peraturan Status & Perpindahan Pemain FAM,” menurut FAM satu kenyataan semalam.
Kemelut melibatkan Akhyar dan KFA telah bermula pada bulan lalu selepas pemain berusia 19 tahun itu dilaporkan mahu ‘angkat kaki’ daripada bersama skuad Helang Merah pada musim depan.
Susulan situasi tersebut, KFA berusaha untuk menuntut nilai perpindahan yang lebih tinggi sekiranya ada pasukan yang berminat untuk mendapatkan khidmat pemain yang dinobatkan sebagai penyerang terbaik negara 2018 itu.
Namun, Akhyar yang berada dalam skuad Harimau Malaya memilih untuk menebus kontraknya sekali gus menyaksikan perpindahannya ke pasukan baharu nanti akan berjalan dengan lebih lancar.
Difahamkan, antara beberapa pasukan yang berminat untuk mendapatkan khidmat Akhyar musim depan adalah Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor dan Perlis. – K! ONLINE










